CYBERJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 menjadi antara tumpuan utama Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 hari Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada Mac.
Dalam ucapan amanat Tahun Baharu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam 2026 di sini hari ini, beliau berkata langkah itu bertujuan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang alam sekitar dan menyokong usaha negara mengurangkan pelepasan karbon melalui mekanisme yang lebih jelas dan efektif.
Selain itu, beliau berkata penggubalan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) turut menjadi fokus, bagi membolehkan pelaksanaan mekanisme perdagangan karbon selaras Artikel 6 Perjanjian Paris.
“DPKK akan memacu penglibatan sektor swasta dan institusi perbankan dalam pasaran karbon domestik dan antarabangsa.
“DPKK juga menyokong pembiayaan inisiatif rendah karbon merentas sektor serta memangkin tindakan iklim di bawah dasar sektoral yang digubal pelbagai kementerian,” katanya.
Dalam amanat itu, Arthur turut menekankan komitmen merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selaras semangat Persekutuan dan keadilan wilayah, termasuk penyerahan kuasa kawal selia bahan terjadual di bawah Fasal 95C Perlembagaan Persekutuan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata KPI itu, turut menekankan pelaksanaan program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 (LCC2030C), yang bertujuan memacu transformasi bandar ke arah bandar rendah karbon.
“Program ini merangkumi lima sektor utama iaitu tenaga, pengangkutan, sisa, air dan kehijauan, dengan sasaran 200 Zon Rendah Karbon dan 1,000 Rakan Kongsi Rendah Karbon menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata bagi tempoh 2020 hingga 2024, 67 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyertai LCC2030C, dengan jumlah pengurangan karbon meningkat daripada 51,569.61 tan CO₂eq pada 2020 kepada 465,000.02 tan CO₂eq pada 2024.
Arthur berkata KPI seterusnya memberi tumpuan kepada isu pencemaran plastik melalui pelancaran Kempen Hindari Plastik Sekali Guna dengan tema “Bebas Plastik, Selamat Bumi”.
Beliau berkata kempen itu, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kesan negatif plastik sekali guna, selain menggalakkan amalan “Bawa Beg Sendiri” sebagai gaya hidup lestari.
“Ia dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan negeri, PBT, pemimpin masyarakat dan sektor korporat bagi pengurusan sisa plastik yang lebih sistematik,” katanya menambah kesemua langkah bersepadu itu mencerminkan komitmen NRES dalam memacu agenda rendah karbon, memperkukuh pematuhan undang-undang alam sekitar dan menyokong tindakan iklim pada peringkat nasional dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial