WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Piala ASEAN Hyundai 2026: Herdman Iltizam Ubah Naratif Skuad Garuda

15/01/2026 10:04 PM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

JAKARTA, 15 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih baharu Indonesia, John Herdman, percaya tekanan susulan penantian panjang skuad kebangsaan untuk menjulang kejuaraan Piala ASEAN mampu dijadikan pembakar semangat tambahan.

Jurulatih berusia 50 tahun itu, yang mula menggalas tugas awal bulan ini, meletakkan sasaran tinggi untuk membimbing skuad Garuda meraih kejuaraan sulung dalam kejohanan bola sepak paling berprestij di Asia Tenggara itu.

Sejak mengambil alih pasukan, bekas pengendali Kanada itu mengakui sering diingatkan mengenai kegagalan hampir berjaya Indonesia, yang sekadar muncul naib juara sebanyak enam kali. Namun, beliau kekal fokus untuk mengubah naratif itu pada edisi ke-16 kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos ini.

“Saya kerap mendengar tentang enam kali mara ke final sejak tiba di sini dan berharap edisi kali ini kami berpeluang memperbetulkannya.

“Untuk muncul juara buat kali pertama, mempelopori dan membawa Indonesia ke era baharu, itulah cabaran di hadapan kumpulan pemain ini, saya sebagai jurulatih, organisasi serta penyokong. Itu sudah cukup sebagai motivasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian rasmi Piala ASEAN Hyundai 2026, di sini, hari ini.

Indonesia diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Vietnam, juara empat kali Singapura, Kemboja serta pemenang perlawanan play-off antara Brunei dan Timor Leste.

Bagaimanapun, Herdman mengakui saingan kejohanan itu tetap mencabar memandangkan kebanyakan pasukan berada pada tahap kekuatan yang hampir seimbang.

Jurulatih kelahiran England itu mengambil alih tugas daripada Patrick Kluivert selepas jurulatih dari Belanda berkenaan dan Persatuan Bola Sepak Seluruh Indonesia (PSSI) mencapai persetujuan bersama untuk berpisah, susulan penyingkiran pada pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026, Oktober lalu.

Sementara itu, juara tujuh kali Thailand diundi dalam Kumpulan B bersama juara 2010 Malaysia, Filipina yang lima kali mara ke separuh akhir, Myanmar (dua kali separuh akhir) dan Laos.

Ketua jurulatih Thailand, Anthony Hudson, mengakui tiada perlawanan mudah dalam Kumpulan B, termasuk menentang Malaysia, meskipun berpuas hati dengan keputusan undian.

“Apabila melihat kumpulan satu lagi yang menampilkan Indonesia dan Vietnam, semuanya sukar. Saya fikir kami berada dalam kumpulan yang setiap perlawanan pasti mencabar dan sengit, namun jika perlu memilih, inilah kumpulan yang kami mahukan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Filipina, Carles Cuadrat, berkata skuad Azkals tidak sabar untuk berdepan Gajah Perang, pasukan paling berjaya dalam kejohanan itu dengan tujuh gelaran.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan