ALOR SETAR, 16 Jan (Bernama) -- Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah van Thailand yang melanggar lampu isyarat merah di Napoh, dekat Kubang Pasu malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.
“Polis menerima maklumat berkaitan kes kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah van kira-kira 10.30 malam. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu van lelaki warga Thailand berusia 60 tahun yang dalam perjalanan menuju ke Satun, Thailand tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.
“Van itu kemudiannya melanggar motosikal dinaiki mangsa yang datang dari simpang sebelah kiri. Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian kerana kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk proses bedah siasat manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu van itu telah ditahan untuk siasatan dan saringan awal air kencing mendapati beliau negatif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, tular satu video di laman media sosial berhubung kejadian sebuah motosikal dilanggar sebuah van yang tidak berhenti ketika lampu merah di persimpangan lampu isyarat di Napoh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial