WILAYAH - SELATAN > BERITA

JS–SEZ: Pembangunan Tidak Jejas Bekalan Elektrik Dan Air, Keperluan Rakyat Diutamakan

16/01/2026 12:33 PM

JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor akan memastikan setiap pembangunan dan pelaburan strategik termasuk yang berskala besar seperti di kawasan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS–SEZ) tidak menjejaskan keperluan asas rakyat, terutamanya bekalan elektrik dan air yang tetap menjadi keutamaan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setiap pelaburan di negeri itu termasuk pusat data dan industri berintensif tinggi hanya akan dipertimbangkan selepas penilaian teknikal yang ketat bagi memastikan tidak menjejaskan bekalan sedia ada yang dinikmati oleh rakyat.

Beliau berkata pihaknya juga telah melakukan pertemuan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Ranhill SAJ (RSAJ) bagi membincangkan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang meliputi bekalan kedua-dua utiliti berkenaan di Johor.

“Pihak TNB telah membentangkan bahawa bekalan elektrik di JS–SEZ berada pada tahap mencukupi dan terkawal, setakat Dis 2025 kapasiti terpasang adalah sebanyak 3,885 MVA dengan permintaan semasa 1,272 MW bersamaan dengan 72.76 peratus penggunaan dan masih berada dalam margin operasi sihat.

“Bagi memastikan kesiapsiagaan jangka panjang, rancangan pembangunan infrastruktur grid secara berfasa melibatkan empat pencawang masuk utama (PMU) dengan kapasiti 630 MVA telah diluluskan selain sembilan PMU tambahan dengan kapasiti 1,620 MVA kini dalam perancangan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bagi bekalan air di kawasan JS–SEZ yang merangkumi tiga daerah, iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian hingga Januari 2026, peruntukan kapasiti bekalan air sebanyak 1,488 juta liter sehari (JLH) dengan pengeluaran semasa 1,261 JLH, sekali gus menyediakan rizab kira-kira 227 JLH atau 15 peratus.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama dengan kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek rezoning bernilai RM1.02 bilion bagi meningkatkan kecekapan sistem air terawat melibatkan kapasiti tambahan 260 JLH, terutamanya di Iskandar Puteri dan Sedenak.

“Johor juga merancang dan sedang melaksanakan lima projek Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dengan kerjasama RSAJ, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Projek yang dilaksana secara berperingkat itu bukan sahaja dapat memastikan bekalan air mencukupi tetapi menyokong pertumbuhan negeri sehingga 2035.

“Secara keseluruhan, projek ini akan menyediakan lebih 1,100 JLH kapasiti baharu, memastikan bekalan air Johor kekal mencukupi, stabil dan selamat untuk rakyat, di samping menyokong pembangunan industri dan ekonomi negeri dalam jangka panjang tanpa menjejaskan bekalan awam,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan