WILAYAH - SARAWAK > BERITA

4.7 Juta Akaun Media Sosial Kanak-Kanak Bawah 16 Tahun Dinyahaktifkan Di Australia

16/01/2026 04:05 PM

CANBERRA, 16 Jan (Bernama-Xinhua) -- Lebih 4.7 juta akaun media sosial milik kanak-kanak di Australia dinyahaktifkan dalam beberapa hari pertama pelaksanaan larangan media sosial untuk mereka berumur bawah 16 tahun yang pertama kali dilaksanakan di dunia, menurut kerajaan persekutuan pada Jumaat, lapor Xinhua.

Data yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya eSafety kerajaan menunjukkan syarikat media sosial menyekat akses kepada kira-kira 4.7 juta akaun yang dikenal pasti sebagai milik kanak-kanak bawah 16 tahun dalam tempoh beberapa hari selepas larangan itu berkuat kuasa pada 10 Dis lepas.

Perdana Menteri Anthony Albanese berkata perkembangan awal itu menggalakkan apabila syarikat media sosial mengambil “usaha bermakna” untuk mematuhi larangan berkenaan.

“Perubahan tidak berlaku sekelip mata. Tetapi tanda-tanda awal ini menunjukkan bahawa penting untuk kami mengambil tindakan untuk melaksanakan perubahan ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Pesuruhjaya eSafety Julie Inman Grant berkata beliau “sangat berpuas hati” dengan keputusan awal itu, namun mengakui terdapat laporan bahawa sebahagian akaun milik kanak-kanak di bawah had umur masih kekal aktif.

Kerajaan tidak mendedahkan jumlah akaun yang dinyahaktifkan oleh setiap 10 platform yang terlibat dalam larangan itu, termasuk TikTok, X dan YouTube.

Meta mengumumkan pada Isnin bahawa ia menyahaktifkan lebih 544,000 akaun di platform Facebook, Instagram dan Threads setakat 11 Dis lalu.

Di bawah undang-undang yang diluluskan Parlimen Australia pada 2024, syarikat media sosial yang gagal mengambil langkah munasabah untuk menguatkuasakan larangan itu boleh dikenakan denda sehingga AUD49.5 juta (kira-kira US$33.17 juta).

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan