WILAYAH - SABAH > BERITA

Monsun Timur Laut: NRES Fokus Tingkat Sistem Amaran Awal Bencana

17/01/2026 11:39 AM

KOTA KINABALU, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberikan keutamaan kepada usaha meningkatkan sistem amaran awal bencana tahun ini, susulan ketidaktentuan cuaca semasa akibat Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu penting memandangkan ramalan terkini menunjukkan tempoh MTL tahun ini dijangka berpanjangan hingga Mac ini.

“Saya telah memasukkan keperluan sistem amaran awal ini sebagai satu fokus kementerian, lebih-lebih lagi dengan ketidaktentuan cuaca seperti yang kita lihat berlaku di Sabah sekarang.

“Jadi, dengan peningkatan aset dan kecekapan pengurusan, kita mesti meningkatkan juga kemampuan ramalan kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pecah tanah Kompleks Mini NRES Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Mengulas lanjut, Arthur berkata ketepatan ramalan menerusi teknologi dan pengurusan yang cekap adalah kritikal, terutama ketika berdepan dengan MTL sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

“Kita tidak mampu mengawal perubahan cuaca, tetapi kita mampu meramal bagi membolehkan kita buat persediaan awal,” katanya.

Pada 14 Nov tahun lepas, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia Ambun Dindang dilaporkan berkata MTL yang bermula pada 13 Nov dijangka berterusan hingga Mac ini.

Monsun yang bergerak dari utara ke selatan itu lazimnya memberikan kesan awal kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula pada November, sebelum menjangkau Pahang dan Johor pada fasa seterusnya. Sabah dan Sarawak juga berpotensi menerima kesan bergantung pada pergerakan monsun.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan