WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penguat Kuasa Pulau Pinang Digesa Lapor SPRM Jika Disogok

21/01/2026 07:03 PM

GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Penjawat awam, khususnya anggota penguat kuasa di Pulau Pinang digesa membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika cuba disogok semasa bertugas.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S. Karunanithy berkata tindakan itu penting bagi memperkukuh penguatkuasaan dan memastikan penjawat awam berani menolak serta melaporkan sebarang bentuk rasuah di lapangan.

“Kerajaan menyediakan garis panduan ganjaran kepada penjawat awam yang melaporkan cubaan rasuah dan harus dimanfaatkan sebagai mekanisme untuk membendung amalan rasuah dan memberi keyakinan kepada penjawat awam bahawa mereka dilindungi,” katanya.

Karunanithy berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri Program Dialog Antirasuah Kerjasama Antara SPRM Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang turut dihadiri Datuk Bandar MBPP Datuk A. Rajendran di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang 2025, SPRM Pulau Pinang menerima kurang daripada lima laporan rasmi berkaitan cubaan penyogokan terhadap penjawat awam. 

Selain itu, SPRM menerima 37 maklumat berkaitan salah laku daripada MBPP termasuk laporan daripada pelbagai unit penguat kuasa yang menunjukkan keperluan untuk penjawat awam lebih berani membuat laporan.

”Dari segi tangkapan, sebanyak lima tangkapan dibuat membabitkan MBPP namun kesemua kes masih dalam siasatan dan proses untuk dibawa ke Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut,” katanya.

Pada majlis itu, SPRM turut melancarkan e-risalah Mutiara SPRM Pulau Pinang yang merupakan inisiatif digital untuk menyebarkan mesej pencegahan rasuah secara lebih meluas kepada penjawat awam dan masyarakat.

Karunanithy berkata e-risalah itu dikeluarkan setiap bulan melalui platform seperti WhatsApp dan dilengkapi kod QR bagi memudahkan penyebaran maklumat kepada ketua jabatan dan pegawai bawah.

“Pendekatan digital ini merupakan kaedah proaktif untuk memastikan mesej antirasuah sampai ke semua lapisan masyarakat dan mudah diakses oleh penjawat awam,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan