WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Buka Kertas Siasatan Tatakelola, Kesan Kelemahan Pengurusan E-Waste

21/01/2026 11:32 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan serius terhadap siasatan aspek kelemahan tatakelola dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste) di Selangor dan Negeri Sembilan susulan pelaksanaan Op Nature di kedua-dua negeri itu semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman berkata selain siasatan jenayah rasuah, pihaknya juga sedang mengenal pasti punca dan kelemahan tatakelola yang menyumbang kepada isu pengurusan bahan berkenaan.

Beliau menegaskan ini perlu kerana kelemahan tatakelola yang tidak ditangani dengan baik akan membuka ruang kepada perlakuan jenayah rasuah serta pengimportan haram e-waste terus berulang.

“SPRM telah membuka kertas penyiasatan tatakelola bagi meneliti punca dan mencari kaedah terbaik untuk mengelakkan isu ini berlarutan. Ia bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah turut merugikan hasil pendapatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Op Nature tersebut dijalankan secara serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di dua lokasi iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Azmi berkata antara isu awal yang dikenal pasti melalui operasi tersebut berkaitan aspek pemantauan dan tindakan susulan terhadap pengurusan e-waste.

Bagaimanapun, beliau berkata perincian lanjut mengenai perkara itu hanya dapat disahkan selepas penyiasatan tatakelola yang lengkap diselesaikan sepenuhnya oleh pihak suruhanjaya.

Beliau juga berkata selain Negeri Sembilan dan Selangor, SPRM juga tidak menolak kemungkinan isu sama berlaku di negeri lain dan bersedia memperluaskan penyiasatan tatakelola ke seluruh negara sekiranya terdapat keperluan.

Dalam pada itu, suruhanjaya tersebut akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar serta Pasukan Petugas Khas E-Waste yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Azmi turut berharap setiap agensi yang mempunyai bidang kuasa berkaitan e-waste dapat memainkan peranan lebih tegas berdasarkan bidang kuasa masing-masing bagi membendung isu itu daripada terus berlarutan.

“Tindakan proaktif perlu diambil bagi memastikan sistem pengurusan sisa elektronik negara lebih berintegriti sekali gus menutup ruang manipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan