WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LHDN Sasar Selesai Bayaran Balik Lebihan Cukai Syarikat Tahun Taksiran 2023 Pada Suku Pertama 2026

22/01/2026 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasar menyelesaikan bayaran balik lebihan cukai syarikat bagi Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama 2026, manakala Tahun Taksiran 2024 dijangkakan pada penghujung 2026.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata tumpuan utama LHDN ketika ini adalah untuk menangani tunggakan bayaran balik lebihan cukai syarikat secara berperingkat.

“Langkah ini selari dengan usaha berterusan untuk memperkukuh pengurusan bayaran balik lebihan cukai agar lebih adil dan teratur,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada langkah penambahbaikan, LHDN telah merangka beberapa strategi bagi mempercepat proses bayaran balik tersebut.

“Antaranya termasuk penggunaan konsep ‘first in, first out’ (FIFO) bagi memastikan tunggakan bayaran balik yang lebih lama diberi keutamaan, selain mengagihkan bayaran balik lebihan cukai secara seimbang berdasarkan usia tunggakan,” katanya.

Selain itu, Liew berkata bayaran penuh turut akan dibuat bagi tunggakan bayaran balik lebihan cukai kepada pembayar cukai individu, berserta dengan keutamaan diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta syarikat yang menghadapi masalah aliran tunai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan