KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 menetapkan hala tuju nasional yang jelas untuk meningkatkan bakat, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan membina sistem sokongan yang lancar serta diselaraskan secara strategik bagi memupuk setiap pelajar Malaysia dari peringkat asas sehingga pendidikan tinggi dan pembelajaran sepanjang hayat.
Naib Canselor Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata RPN mengiktiraf bahawa pendidikan mesti berfungsi sebagai satu kontinum yang tunggal dan bersepadu, bukannya tahap-tahap yang terpisah.
Beliau berkata dengan menyelaraskan pendidikan awal, laluan sekolah dan pendidikan tinggi, pelan itu mewujudkan rangka kerja nasional yang koheren, yang memastikan kesinambungan, keseragaman dan perkembangan dalam pencapaian pembelajaran.
“Pendekatan ini membolehkan intervensi yang tepat pada masanya dan berasaskan bukti apabila diperlukan, memastikan tiada bakat yang terabai serta pelajar dibimbing ke program yang paling sesuai pada setiap peringkat perkembangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noor Azuan berkata teras RPN ialah platform pelbagai serampang untuk pembangunan kemahiran dan bakat yang melalui laluan berstruktur, intervensi bersasar dan mekanisme sokongan adaptif, membolehkan pelajar dialihkan ke laluan akademik, teknikal, vokasional atau berorientasikan penyelidikan yang paling sesuai.
Beliau berkata penilaian sistematik pada selang masa yang sesuai, penting untuk melahirkan modal insan bertaraf dunia dan bersedia menghadapi masa depan, akan memudahkan mengenal pasti dari awal kekuatan dan kelemahan, memastikan pembangunan mengikut keperluan, mengekalkan piawaian kecemerlangan negara dan membolehkan sumbangan kepada keutamaan nasional serta ekonomi pengetahuan global.
Mengenai Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM), beliau berkata ia menekankan kepentingan mengukuhkan identiti nasional dengan memastikan liputan yang mantap terhadap pengajian sejarah dan perlembagaan di peringkat universiti, satu pendekatan yang mengukuhkan kefahaman sivik, perpaduan negara, dan kebersamaan dalam kalangan bakal pemimpin.
“Sama pentingnya ialah penekanan semula terhadap nilai, hati nurani dan moral sebagai komponen penting dalam pendidikan, mengiktiraf bahawa kemajuan negara yang mampan bergantung pada sahsiah, etika dan integriti di samping kemahiran dan inovasi” katanya.
Sementara itu, Ketua Pusat Kaunseling dan Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (CDE) UM Lizawati Abd Sane mengalu-alukan inisiatif Kerajaan menerusi RPTM untuk memperkenalkan pendidikan percuma bagi pelajar orang kurang upaya (OKU), selaras dengan usaha berterusan untuk memperluas akses pendidikan tinggi yang saksama kepada golongan berkenaan.
“Inisiatif ini selaras dengan Polisi Universiti Inklusif UM untuk OKU dan dilihat secara positif, kerana infrastruktur mesra OKU, kurikulum yang mudah diakses dan fleksibel yang disokong oleh teknologi dan bantuan kewangan telah pun disediakan.
“Langkah-langkah ini mengurangkan beban psikologi dan kewangan ke atas pelajar OKU serta pelajar neuro diversiti, memperkukuh Garis Panduan Neuro Diversiti UM yang dilancarkan pada 13 Okt dan menyokong ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif,” katanya.
Pada 20 Jan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan RPN 2026-2035 yang diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi melalui RPTM 2026-2035 dan Kementerian Pendidikan melalui Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial