WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ISWAMI Gesa Media Lapor Naratif Tepat Isu Sempadan Darat Malaysia-Indonesia

23/01/2026 09:17 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) --Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) menggesa media di kedua-dua negara melaporkan naratif yang tepat berhubung isu penyelesaian sempadan darat bagi mengelak salah tafsir dan spekulasi yang berpotensi menjejaskan hubungan diplomatik.

Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata rundingan penandaan dan pengukuran di kawasan Masalah Sempadan Tertangguh (OBP) bagi sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) telah dijalankan secara harmoni serta tidak berasaskan prinsip timbal balik, pampasan atau untung rugi.

“ISWAMI berharap media massa memberikan laporan yang tepat dan benar, berpegang kepada prinsip serta etika kewartawanan, serta tidak membentuk naratif yang boleh mengeruhkan hubungan baik Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan laporan media bertarikh 22 Jan yang menyatakan “Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung di kawasan Nunukan berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan” adalah tidak tepat.

NRES menjelaskan pemuktamadan pengukuran sempadan darat berkenaan dilakukan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Feb 2025, selepas melalui proses rundingan teknikal yang komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.

Usaha menyegerakan penyelesaian isu sempadan darat bagi sektor Sabah-KALTARA dipersetujui semasa lawatan bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo, ke Malaysia pada 8 Jun 2023, dengan proses rundingan turut melibatkan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia.

“ISWAMI yakin pimpinan kedua-dua negara telah mengambil pendekatan diplomasi berlandaskan semangat muhibah dan setiakawan dalam menyelesaikan isu ini,” kata Ahmad Zaini.

Sehubungan itu, ISWAMI berharap kerajaan Malaysia dan Indonesia dapat memberikan taklimat khas kepada media bagi menjelaskan isu berkenaan supaya maklumat lebih jelas dan tepat dihebahkan kepada rakyat serta mengelak pelbagai spekulasi negatif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan