WILAYAH - TIMUR > BERITA

Peniaga Rugi Lebih RM277,000 Akibat Pelaburan Tidak Wujud

24/01/2026 01:20 PM

KUANTAN, 24 Jan (Bernama) -- Seorang peniaga kerugian lebih RM277,000 akibat terperdaya dengan pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 52 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi berkenaan sebelum ditawarkan satu pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Beliau berkata mangsa kemudian telah membuat pelaburan berjumlah RM1,000 dan RM70,000 serta menerima pulangan keuntungan sebanyak RM175 dan RM12,300.

“Keuntungan yang diterima telah dilaburkan semula oleh lelaki berkenaan, sebelum mangsa diyakinkan untuk meneruskan pelaburan dengan jumlah yang lebih besar.

“Sepanjang tempoh 8 hingga 12 Jan lepas, mangsa telah membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank berbeza menggunakan sumber kewangan simpanan sendiri, hasil perniagaan dan pinjaman daripada isteri serta kenalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata mangsa gagal menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan dan diberi pelbagai alasan oleh pihak terlibat sebelum menyedari ditipu.

Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan