WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelancong Asing Teruja Lihat Persiapan Thaipusam

25/01/2026 04:11 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Kemeriahan Thaipusam di Batu Caves sudah mula dirasai dengan kehadiran penganut Hindu dan pelancong ke kawasan kuil itu beberapa hari lebih awal sebelum sambutan bermula. 

Kawasan kuil dengan tangga ikonik berwarna-warni terus menerima kehadiran pengunjung yang berkongsi ruang dengan penjual di laluan dibenarkan, memberi gambaran awal kemeriahan sambutan yang akan berlangsung pada Ahad depan. 

Pelancong asing dilihat turut teruja dengan suasana itu apabila mereka meluangkan masa untuk merasai sendiri kemeriahan tersebut selain ada yang mengambil gambar di sekitar kawasan kuil. 

Francisco Ruiz dari Madrid, Sepanyol menyifatkan kunjungan ke Batu Caves sebagai “pengalaman yang sangat baik” kerana berpeluang menyaksikan persiapan sambutan Thaipusam dalam tempoh berbulan madu di Malaysia.  

Ruiz memberitahu Bernama, tiba di Kuala Lumpur bersama-sama isterinya beberapa hari lepas, tidak menyangka akan berpeluang untuk menyaksikan satu upacara keagamaan yang besar seperti itu. 

“Kami datang ke sini dan lihat ada seperti pesta yang besar. Kami tidak tahu sambutan apa tetapi ini pengalaman yang sangat bagus dan unik,” katanya dan menambah suasana meriah itu meninggalkan kesan mendalam kepada mereka. 

Ruiz berkata selepas melawat beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, dirinya berasa kagum dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini. 

“Ini sangat berbeza daripada apa yang biasa kami lihat tetapi kami sangat menyukainya,” katanya yang pertama kali berkunjung ke Malaysia. 

Seorang lagi pengunjung, Zumarni, 60, dari Bandung, Indonesia juga berkongsi pengalaman positif selepas berkunjung ke Batu Caves, yang memberi gambaran tentang kepelbagaian masyarakat di negara ini. 

“Orang Malaysia terdiri daripada pelbagai gaya, dari segi latar belakang dan cara berpakaian tetapi semuanya boleh berada dalam suasana seperti ini.

“Senang sahaja melihatnya kerana ini kali pertama ke sini,” katanya.

Thaipusam antara perayaan keagamaan Hindu utama di Malaysia akan disambut pada Ahad depan, dengan Batu Caves sebagai tumpuan utama sambutan itu.

Sambutan di Batu Caves dijangka menarik kehadiran 2.5 juta orang, meningkat berbanding tahun lepas berikutan hujung minggu dan cuti umum panjang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan