WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pendakap Gigi Lut Sinar Kian Menjadi Pilihan Golongan Profesional

27/01/2026 11:21 AM


From Muhammad Basir Roslan

Rawatan ortodontik, khususnya penjajaran gigi yang dahulunya lebih lazim dalam kalangan remaja, kini kian diberi perhatian oleh golongan dewasa terutamanya mereka yang bekerja dalam bidang profesional dan perlu berinteraksi dengan ahli masyarakat.  

Dalam konteks ini, bagi mereka, senyuman bukan sekadar elemen kosmetik tetapi turut mempengaruhi keyakinan diri. 

Akan tetapi, ada yang teragak-agak untuk menjalani rawatan ini memandangkan pemakaian pendakap gigi logam konvensional berisiko menjejaskan penampilan diri selain kekangan seperti penjagaan yang agak rumit dan mengganggu ketika makan. 

Justeru, kemunculan teknologi clear aligner atau pendakap gigi lut sinar dengan kaedah rawatan lebih fleksibel dan tidak menjejaskan penampilan profesional, menjadi pilihan kebanyakan mereka yang berkemampuan, khususnya golongan berpendapatan sederhana tinggi dan ke atas.

Lily (bukan nama sebenar), seorang profesional dalam industri kreatif yang banyak terlibat dengan komitmen kerja dan sosial di sekitar Lembah Klang, antara yang menggunakan pendakap gigi lut sinar itu selepas bertahun-tahun menangguhkan rawatan ortodontik.

“Saya ada masalah gigi jarang tetapi keberatan untuk pakai pendakap gigi logam, justeru, apabila dapat tahu tentang clear aligner saya putuskan untuk jalani rawatan itu. Kelebihannya ialah bentuk fizikal aligner ini hampir tidak kelihatan selain mudah ditanggalkan, membolehkan saya bekerja sambil menyesuaikan rawatan berkala dengan jadual harian tanpa gangguan,” kata wanita muda tersebut ketika dihubungi.

 

EVOLUSI TEKNOLOGI

Pakar ortodontik Dr Arlena Lee berkata peningkatan kesedaran terhadap kesihatan mulut dan penampilan diri menjadi faktor utama yang mendorong orang dewasa kian mengambil berat tentang penjajaran gigi, dan kewujudan teknologi pendakap lut sinar membantu merapatkan jurang antara keperluan rawatan ortodontik dan tuntutan gaya hidup moden. 

“Berbanding pendakap gigi logam, aligner hampir tidak kelihatan dan boleh ditanggalkan, membolehkan pesakit menyesuaikan rawatan dengan jadual harian secara fleksibel tanpa mengganggu rutin kerja serta aktiviti sosial atau profesional,” kongsinya dengan Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

pic-2

Dr Lee yang juga Naib Presiden Operasi Dr Clear Aligners, sebuah penyedia perkhidmatan ortodontik di negara ini, berkata buat masa ini rawatan tersebut hanya ditawarkan oleh sejumlah kecil penyedia perkhidmatan berlesen. 

Katanya walaupun telah wujud lebih 20 tahun lalu, teknologi itu hanya mula menembusi pasaran Malaysia sekitar 2020-an.

“Kami tiba di Malaysia pada 2021, dan hingga suku ketiga 2025 kami telah merawat lebih 30,000 pesakit,” jelasnya yang turut membayangkan peningkatan permintaan terhadap kaedah itu.  

Menjelaskan peranti tersebut mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesiharan Malaysia, Dr Lee berkata pendakap gigi lut sinar yang dihasilkan menggunakan teknologi dari Jerman itu turut memenuhi piawaian antarabangsa seperti Food and Drug Administration (FDA) serta Kesatuan Eropah (CE).

 

DARIPADA PEMERIKSAAN KE PELAN RAWATAN DIGITAL

Tentang proses rawatan, Dr Lee berkata pesakit perlu melalui beberapa proses, bermula dengan pemeriksaan klinikal sebelum menjalani X-ray dan disusuli imbasan intraoral 3D yang menggantikan kaedah pembentukan acuan gigi konvensional. 

Berdasarkan data imbasan tersebut, pakar ortodontik akan menyediakan pelan rawatan digital yang memaparkan pergerakan gigi secara berperingkat dari awal hingga akhir rawatan sebelum mula mencetak set pendakap yang perlu dipakai secara konsisten.

pic-3

Pendekatan ini juga membolehkan pesakit memahami hala tuju rawatan dengan lebih jelas, di samping mampu mengurangkan keperluan lawatan fizikal yang kerap ke klinik.

“Pemantauan rawatan pula boleh dilakukan secara berkala melalui sistem digital, termasuk penggunaan aplikasi mudah alih dinamakan Clear Monitor yang membolehkan doktor menilai kemajuan rawatan tanpa pesakit perlu hadir di klinik setiap masa,” jelasnya.

Menurutnya, seseorang pesakit perlu memakai aligner antara enam ke 18 bulan, dan ada yang mencecah 24 bulan, bergantung pada keadaan gigi pesakit.

“Set aligner ini pula perlu ditukar secara berperingkat, biasanya setiap 10 hingga 15 hari (berdasarkan pergerakan gigi yang dikesan menerusi sistem pemantauan digital).

“Selepas proses penjajaran gigi selesai, pesakit perlu memakai retainer untuk mengelakkan gigi yang telah dijajarkan itu daripada berganjak, tetapi dia boleh tanggalkan (retainer) ketika hendak makan.

“Di peringkat awal, dia perlu pakai retainer sekurang-kurangnya selama 22 jam sehari untuk tempoh minimum tiga bulan. Selepas itu hanya pakai pada waktu malam (tidur),” jelasnya.

 

BEZA  ALIGNER DENGAN RAWATAN KOSMETIK LAIN

Dalam pada itu,  Dr Lee berkata masih ramai yang keliru antara rawatan ortodontik menggunakan aligner dengan rawatan kosmetik pergigian seperti venir.

Jelasnya, rawatan ortodontik bertujuan membetulkan kedudukan dan susunan gigi bagi memastikan fungsi mengunyah, pertuturan dan kesihatan mulut jangka panjang, manakala rawatan kosmetik seperti venir lebih tertumpu pada penampilan luaran gigi tanpa menangani punca masalah penjajaran.

pic-4

Aligner berfungsi dengan menggerakkan gigi secara beransur-ansur ke kedudukan yang lebih baik, manakala venir hanya melibatkan perubahan pada permukaan hadapan gigi. Oleh itu, tidak semua kes sesuai dirawat secara kosmetik semata-mata tanpa penilaian ortodontik yang menyeluruh,” katanya.

Selain itu, keselamatan pesakit turut menjadi perhatian utama dalam rawatan ortodontik menggunakan aligner. Secara umum, rawatan ini lazim digunakan dalam kalangan remaja dan dewasa yang struktur giginya telah berkembang sepenuhnya, namun kesesuaian rawatan bergantung pada penilaian klinikal individu.

Bagi kanak-kanak yang rahangnya masih dalam fasa perkembangan, mereka memerlukan pendekatan lebih khusus dengan pemantauan rapi pakar gigi, sementara untuk warga emas pula mereka harus menjalani penilaian menyeluruh bagi menentukan kesesuaian rawatan mengikut keadaan kesihatan mulut dan kestabilan rahang masing-masing.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli masyarakat agar tidak terjebak dengan penggunaan produk tanpa piawaian seperti “Aligner DIY” yang berisiko menjejaskan kesihatan gigi seseorang.   

“Dapatkan konsultasi di klinik pergigian berdaftar bagi memastikan rawatan yang diterima menepati piawaian keselamatan serta sesuai dengan keadaan gigi masing-masing,” tegas beliau.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan