WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, Uzbekistan Teroka Kerjasama Tanaman Melon, Sektor Perikanan

28/01/2026 01:09 PM

PUTRAJAYA, 28 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Uzbekistan meneroka potensi kerjasama dalam pembangunan tanaman melon, sektor perikanan serta pemodenan penanaman padi menggunakan teknologi seperti dron.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan perkara itu dinyatakan semasa kunjungan hormat Gabenor Wilayah Sirdarya, Uzbekistan Erkinjon Turdimov terhadap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, semalam. 

“Kunjungan ini menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kerjasama dua hala Malaysia-Uzbekistan dalam sektor pertanian dan agromakanan, selaras dengan keutamaan Malaysia dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

“Perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama dalam pembangunan tanaman melon, sektor perikanan serta pemodenan penanaman padi menggunakan teknologi seperti dron,” menurut KPKM dalam kenyataan hari ini.

Pada pertemuan berkenaan, Mohamad turut menyampaikan jemputan kepada Uzbekistan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 Sept di MAEPS, Serdang bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.

Sesi kunjungan hormat itu turut disertai Duta Besar Uzbekistan ke Malaysia Karomidin Gadoev serta pegawai-pegawai kanan KPKM.

Wilayah Sirdarya di Uzbekistan terkenal sebagai kawasan pertanian yang menghasilkan tanaman seperti kapas, gandum dan tembikai.

Nilai perdagangan dalam sektor pertanian antara Malaysia dan Uzbekistan mencecah RM266 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025.

Ia melibatkan eksport pelbagai produk pertanian Malaysia ke negara itu seperti kopi, koko, teh, rempah ratus serta produk pertanian terproses, manakala import dari Uzbekistan merangkumi buah-buahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan