WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Adex Media Dijangka Menguncup Lebih Sederhana Pada 2026 - Kenanga IB

28/01/2026 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengunjurkan penguncupan yang lebih sederhana dalam perbelanjaan pengiklanan media (adex) tahun ini, disokong oleh kesan asas yang rendah dan peningkatan aktiviti pemasaran bersempena acara-acara sukan utama.

Acara sukan itu termasuk Sukan Malaysia (Sukma) Selangor yang dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, Piala Dunia FIFA dari 11 Jun hingga 19 Julai dan Sukan Olimpik Musim Sejuk dari 6 hingga 22 Februari, katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Kenanga IB mengunjurkan penurunan adex sebanyak 9.5 peratus kepada RM4.24 bilion, didorong oleh kelemahan menyeluruh merentasi televisyen (TV) untuk siaran tidak berbayar (FTA), akhbar, majalah, radio, pawagam dan media digital.

Sehubungan itu, bank pelaburan berkenaan mengekalkan saranan "underweight" terhadap sektor media memandangkan pemain media legasi terus berdepan kehilangan bahagian adex secara berstruktur di tengah-tengah tekanan kos yang berterusan.

Menurut Kenanga IB, adex menyusut 22 peratus pada 2025 kepada RM4.74 bilion, diterajui oleh segmen TV FTA.

“Memandangkan platform digital terus mendominasi dan adex media tradisional merosot, pemain legasi perlu bergantung kepada kandungan sendiri dan kecekapan kos untuk kekal relevan,” katanya.

Dalam hal ini, bank pelaburan itu berpendapat pemilikan harta intelek (IP) tidak seharusnya sekadar menjana aliran pendapatan sampingan untuk pemain tempatan seperti Media Prima dan Astro, sebaliknya perlu dilihat sebagai aset asas kepada lembaran imbangan yang menyokong nilai syarikat dan mewujudkan peluang untuk pengukuhan pada masa hadapan.

“Pada pandangan kami, pemain yang berjaya beralih daripada sekadar pengedar kandungan kepada pemilik IP yang boleh diskalakan akan berada pada kedudukan terbaik untuk kekal relevan dalam era digital yang didominasi oleh platform penstriman global,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan