WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lima Inisiatif Strategik Perkasa Industri Halal, Sasar Malaysia Sebagai Hab Halal Global - Ahmad Zahid

29/01/2026 03:31 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan Malaysia sebagai Hab Halal Global melalui pelaksanaan lima inisiatif strategik berimpak tinggi, termasuk pembangunan Pelabuhan Mesra Halal pertama negara di Pelabuhan Kuantan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata projek itu dijangka menjana nilai ekonomi sebanyak RM15 bilion serta mewujudkan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

Beliau berkata perkara itu diperhalusi dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Bil. 2/2025 hari ini, yang memutuskan langkah konkrit bagi memperkukuh ekosistem industri secara menyeluruh, merangkumi aspek logistik, pembiayaan, pelancongan dan tadbir urus taman industri halal.

"Pelaksanaan inisiatif ini akan meletakkan Pelabuhan Kuantan sebagai Hab Halal Pantai Timur yang bersepadu, memperkukuh integriti dan kebolehkesanan halal serta meningkatkan kecekapan rantaian logistik.

"Ini sekali gus akan melonjakkan daya saing dan eksport halal Malaysia di peringkat serantau dan global," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Parlimen, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MPIH, berkata mesyuarat turut membincangkan inisiatif meningkatkan akses pembiayaan industri halal susulan Belanjawan 2026 Malaysia MADANI bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata walaupun pelbagai inisiatif pembiayaan telah disediakan, tahap penyaluran kepada PMKS halal masih rendah berikutan kekangan cagaran fizikal.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengukuhan koordinasi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan institusi kewangan, selain pemerkasaan proses dokumentasi dan peningkatan kefahaman terhadap penilaian risiko perniagaan halal bagi memastikan akses pembiayaan yang lebih inklusif.

Mengenai pelancongan Islam, beliau berkata Malaysia merekodkan momentum positif dengan 5.4 juta ketibaan pelancong Muslim yang membabitkan perbelanjaan RM19.54 bilion pada 2024.

Katanya, mesyuarat bersetuju Program Muslim-Friendly Assurance Recognition (MFAR) oleh Islamic Tourism Centre (ITC) diselaraskan dengan garis panduan pensijilan halal sektor perhotelan bagi meningkatkan tahap pematuhan dan keyakinan pelancong.

Mesyuarat juga membincangkan mengenai Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030) yang memberi tumpuan kepada pembangunan industri halal negeri, khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor– Singapura, dengan menggariskan tujuh hala tuju strategik dan 21 inisiatif utama, termasuk cadangan penubuhan Johor Halal Development Corporation (JHDC) sebagai Agensi Fasilitasi Halal Negeri Johor.

“Saya menggalakkan negeri-negeri lain untuk mencontohi pendekatan proaktif ini bagi memastikan pembangunan industri halal yang seimbang dan selari dengan matlamat nasional,” katanya.

Selain itu, mesyuarat membincangkan inisiatif startegik Halal Development Corporation (HDC) berhubung cadangan Kerangka Kerja HALMAS baharu yang akan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pelaksanaan HALMAS dengan sokongan bersasar agensi peneraju.

Di bawah kerangka ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan menerajui usaha promosi dan tarikan pelaburan strategik ke dalam Taman Industri Halal HALMAS, HDC akan memfokuskan pembangunan industri, pemudah cara pensijilan, serta pengukuhan tadbir urus.

Pada masa sama, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mempergiat promosi eksport produk halal, dengan pelaksanaan Kerangka Insentif Baharu (NIF) akan dimanfaatkan bagi meningkatkan penyertaan industri dan daya saing ekosistem halal negara.

Beliau berkata Kerajaan MADANI meletakkan keyakinan industri halal Malaysia mempunyai masa depan yang amat cerah, namun kejayaan tersebut memerlukan komitmen bersepadu semua pihak.

“Pelaksanaan berkesan kelima-lima inisiatif yang diputuskan dalam mesyuarat ini diyakini mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai Hab Halal Global, seterusnya memperkukuh dominasi negara dalam pengeluaran serta pensijilan produk dan perkhidmatan halal di peringkat antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan