WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Restoran Tiada Sijil Halal Pamer Ayat Al-Quran Kelirukan Pelanggan

29/01/2026 06:56 PM

IPOH, 29 Jan (Bernama) -- Seorang pemilik premis makanan di Teluk Intan berdepan tindakan undang-undang selepas didapati mempamerkan ayat suci al-Quran dan simbol berkaitan di dalam restoran sehingga menimbulkan kekeliruan tentang status halal makanan yang dijual.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata pemeriksaan terhadap premis terbabit dijalankan sepasukan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Teluk Intan pada 1 tengah hari semalam.

Beliau berkata tindakan mempamerkan penggunaan ayat-ayat suci al-Quran di dalam premis umpama satu dorongan bahawa makanan yang dijual di premis itu halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

"Pemeriksaan mendapati premis gagal mengemukakan dokumen perakuan atau pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan menggunakan dua pekerja bukan Islam sepenuhnya dalam penyediaan makanan, termasuk tukang masak.

"Penguat kuasa turut menyita beberapa barangan bernilai RM500 termasuk satu set kalimah Allah dan Muhammad (kayu dan plastik), al-Quran hiasan dinding, salinan Lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan daftar perniagaan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Kamalludin berkata pemilik premis berkenaan ditahan untuk diambil keterangan dan beberapa barangan dari premis disita bagi siasatan lanjut mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

"Bagi kesalahan ini, penalti hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun untuk individu, dan hingga RM5 juta untuk perbadanan, boleh dikenakan. 

"Pemilik premis juga disiasat di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun untuk individu, dan hingga RM200,000 untuk perbadanan," katanya.

Beliau berkata KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan logo halal atau takrif halal tidak sah kerana boleh mengelirukan orang Islam tentang status halal makanan, barang dan perkhidmatan mereka.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan