WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Untung Bersih Bursa Malaysia Susut Kepada RM250.16 Juta Pada Tahun Kewangan 2025

29/01/2026 04:06 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM250.16 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, menyusut daripada RM310.12 juta pada tahun sebelumnya berikutan penurunan dalam jumlah dagangan sekuriti.

Keuntungan segmen pasaran sekuriti menurun sebanyak 15.2 peratus kepada RM363.0 juta manakala segmen operasi lain iaitu pasaran derivatif, pasaran Islam dan perniagaan data mencatatkan keuntungan yang lebih baik, kata Bursa Malaysia dalam pengumuman keputusan suku tahunannya hari ini.

Sementara itu, perolehan bagi tahun yang dinilai juga merosot kepada RM727.73 juta daripada RM784.30 juta sebelumnya.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Farid Alias berkata keadaan pasaran global kekal mencabar pada 2025 dengan ketidaktentuan luar terus mempengaruhi sentimen pelabur dan memberi tekanan ke atas prestasi pasaran ekuiti.

"Walaupun dalam persekitaran yang mencabar, Bursa Malaysia mengekalkan pelaksanaan yang berdisiplin selain menunjukkan prestasi yang kukuh disokong oleh pertumbuhan perolehan bukan dagangan yang stabil dan inisiatif pembangunan pasaran yang konsisten," katanya.

Bursa Malaysia berkata perolehan dagangan pasaran sekuriti menyusut kepada RM308.2 juta daripada RM381.5 juta pada tahun kewangan 2024 disebabkan oleh penurunan sebanyak 19.8 peratus dalam purata nilai dagangan harian merentasi dagangan pasaran dan dagangan perniagaan langsung kerana sentimen pelabur kekal suram di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global yang semakin meningkat.

Bagi pasaran derivatif, perolehan dagangannya mencatatkan penurunan kecil iaitu sebanyak 0.9 peratus kepada RM112.8 juta daripada RM113.8 juta pada tahun kewangan 2024, kesan daripada yuran pengurusan cagaran lebih rendah yang diperoleh pada tahun kewangan 2025.

Segmen pasaran Islam mencatatkan lonjakan sebanyak 31.2 peratus dalam perolehan operasi kepada RM23.5 juta bagi tahun yang dinilai daripada RM17.9 juta pada tahun kewangan 2024.

Bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Dis, 2025, keuntungan bersih Bursa Malaysia menurun kepada RM60.83 juta daripada RM68.90 juta tahun sebelumnya walaupun perolehan meningkat 2.6 peratus kepada RM190.87 juta.

Pasaran sekuriti mencatatkan keuntungan segmen iaitu sebanyak RM93.6 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025, penurunan sebanyak 1.0 peratus daripada RM94.5 juta pada suku tahun sebelumnya, disebabkan oleh kenaikan sebanyak 14.9 peratus dalam perbelanjaan operasi.

Sementara itu, keuntungan segmen pasaran derivatif menyusut sebanyak 11.3 peratus kepada RM13.8 juta daripada RM15.5 juta sebelumnya disebabkan oleh perolehan operasi yang lebih lemah.

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 14 sen sesaham berjumlah RM113.3 juta.

Ini menjadikan jumlah dividen bagi pemegang saham pada tahun kewangan 2025 kepada RM226.6 juta, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 91 peratus.

Mengenai prospek untuk tahun ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Fad’l Mohamed berkata pasaran modal Malaysia dijangka kekal kukuh pada 2026 disokong oleh permintaan domestik yang stabil, aktiviti pelaburan yang berterusan dan dasar yang jelas berterusan daripada kerajaan dan Bank Negara Malaysia.

"Walaupun pertumbuhan global dijangka sederhana akibat perubahan makroekonomi yang lebih luas, bursa kekal memberi tumpuan untuk memperkukuh daya maju pasaran selain memastikan ekosistem yang kukuh di semua segmen," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan