WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Negeri, PBT Digesa Mudah Cara Proses Tol Projek Akuakultur

30/01/2026 01:42 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa memudah cara proses berkaitan kebenaran merancang dan Tempoh Pendudukan Sementara (TOL) melibatkan projek akuakultur agar ia dapat ditangani secara pragmatik.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah bersepadu itu akan mencerminkan komitmen jalinan kerjasama Persekutuan dan negeri dalam melakukan transformasi sektor agromakanan yang lebih moden dan inklusif.

“Pendekatan holistik ini bukan sahaja bertujuan menjamin kemampanan rantaian bekalan makanan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

Perkara tersebut antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Bersama Exco-Exco Pertanian Negeri yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu semalam, berikutan isu lapangan yang dibangkitkan oleh pihak industri dalam sesi libat urus pada 27 Jan lepas.

Menurut KPKM, fokus utama perbincangan pada mesyuarat itu juga tertumpu kepada usaha memperkasakan tadbir urus pelaksanaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi memastikan projek agromakanan diurus secara lebih sistematik dan berkesan.

Selain itu, perhatian khusus juga diberikan kepada kawalan penyakit haiwan menerusi cadangan pewujudan identifikasi nasional untuk keselamatan ternakan, optimasi penggunaan tanah melalui Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) 2026-2030, serta penerapan teknologi dron dan elemen Revolusi Industri 4.0 (4IR) bagi meningkatkan produktiviti sektor padi negara serta pemuliharaan ekosistem perikanan.

Kenyataan itu turut memaklumkan mesyuarat berkenaan berfungsi sebagai platform perbincangan antara KPKM dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengenai isu melibatkan kerajaan negeri.

Antara objektif utama yang ditekankan termasuk penyelarasan dasar dengan membantu mengenal pasti masalah dan isu pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara dan memantau status tindakan dan keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat terdahulu bagi memastikan kesinambungan projek di peringkat lapangan.

Selain itu, mesyuarat itu juga menjadi forum untuk menyelaraskan pelaksanaan projek pembangunan yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi di peringkat daerah dan negeri serta membantu menggalakkan penyatuan sistem maklumat melalui pusat maklumat setempat dan Agrolink untuk penyelarasan program pertanian yang lebih cekap.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan