WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kemudahan WCFC Tingkat Keupayaan UMT Dalam Bidang Penyelidikan Marin, Maritim

02/02/2026 11:35 AM

KUALA NERUS, 2 Feb (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh keupayaan dalam bidang penyelidikan marin dengan kemudahan peralatan berteknologi tinggi Wave Circulation Flume Channel (WCFC).

Naib Canselor Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata UMT menjadi institusi pertama di negara ini yang memiliki kemudahan itu menerusi perolehan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang memfokus kepada pembangunan fasiliti termaju, selaras dengan keperluan negara dan cabaran industri masa hadapan.

Beliau berkata pemilikan kemudahan itu bukan sahaja menjadi satu pelaburan strategik universiti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan inovasi marin negara, malah menaikkan kedudukan UMT sebagai pusat rujukan dalam bidang kejuruteraan marin serta industri maritim.

"Pentauliahan WCFC kepada UMT menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur akademik dan penyelidikan bertaraf dunia.

"Kemudahan itu bukan sahaja berupaya meningkatkan keupayaan penyelidikan UMT, malah menjadi platform penting untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri maritim  dan luar pesisir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamri berkata dari sudut akademik, kemudahan WCFC akan digunakan untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara langsung bagi beberapa program ijazah termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Seni Bina Kapal) serta program Dual Degree.

Beliau berkata bagi menggalakkan kolaborasi antara disiplin kejuruteraan, sains marin dan alam sekitar, penggunaan WCFC akan dibuka kepada fakulti dan pusat tanggungjawab lain di UMT.

"Dalam aspek penyelidikan dan perundingan, kemudahan itu berupaya menyokong kajian seperti ujian rintangan kapal, eksperimen Planar Motion Mechanism (PMM), analisis sistem tambatan, pengangkutan sedimen, kejuruteraan pesisir dan hidraulik serta penyelidikan tenaga boleh diperbaharui marin.

"Secara keseluruhan perolehan WCFC dilihat sebagai satu lonjakan besar terhadap keupayaan eksperimen universiti, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan maritim dan lautan pada peringkat antarabangsa," katanya.

 -- BERNAMA

 

 

  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan