WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Radius Pencarian Nelayan Hilang Di Pengerang Diperluas

02/02/2026 10:21 PM

KOTA TINGGI, 2 Feb (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki terbalik dipercayai akibat dilanggar sebuah bot lain di perairan Pengerang di sini semalam, kini diteruskan meliputi kawasan seluas dua batu nautika dari lokasi kejadian.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata usaha mengesan mangsa Mustaffa Hussain, 55, masih giat dijalankan melibatkan pelbagai aset, namun belum menemukan sebarang petunjuk.

“Mangsa bersama pekerjanya warga Indonesia dikenali sebagai Khairul, 32, berada di atas bot gentian kaca sebelum dilanggar dari arah belakang, kira-kira 10 malam.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mereka tercampak ke laut, bagaimanapun Khairul berjaya berpaut pada bot dan diselamatkan Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Najib berkata insiden itu dilaporkan berlaku pada kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat daya Tanjung Setapa, tidak jauh dari lokasi bot mangsa dilanggar.

“Justeru, orang ramai dan komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat di talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili di talian 07-891 6591,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada isteri mangsa dan pasukan PPM Wilayah Dua Pengerang serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi SAR. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan