KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen melumpuhkan sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai ‘Geng Sojul’ susulan penahanan dua ‘transporter’ atau ejen pengangkut lelaki masing-masing seorang rakyat tempatan dan warga asing dalam operasi di sekitar Kuchai Lama di sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam operasi bermula 1.30 tengah hari itu, pihaknya turut menahan 20 pendatang tanpa izin yang dipercayai baru diseludup masuk ke negara ini melalui pangkalan haram di Kelantan.
Beliau berkata dalam serbuan pertama, pihaknya menahan lapan pendatang tanpa izin selepas memintas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di kawasan parkir sebuah pasar raya.
"Susulan itu, pasukan penguat kuasa menyerbu sebuah kondominium di kawasan berhampiran yang dijadikan rumah transit serta menahan 12 lagi lelaki warga Bangladesh yang dipercayai sedang menunggu untuk dihantar ke selatan tanah air dan sekitar Lembah Klang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak Disember lepas dengan modus operandi membawa masuk migran melalui negara ketiga sebelum memasuki Malaysia secara haram melalui sempadan Kelantan.
Beliau berkata setiap individu itu dikenakan bayaran RM12,000, menjadikan sindiket berkenaan dianggarkan telah mengaut keuntungan mencecah RM1.2 juta sepanjang tempoh dua bulan beroperasi.
"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua pendatang tanpa izin yang ditahan terdiri daripada 19 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar berumur antara 18 hingga 49 tahun.
"Turut disita ialah dua kenderaan, beberapa pasport Bangladesh serta wang tunai RM82,100 dan USD3,700 (kira-kira RM15,600)," katanya.
Kesemuanya kini ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial