KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman memberi jaminan akan melaksanakan “total clean up” (pembersihan menyeluruh) dalam pengurusan ATM, khususnya membabitkan isu tatakelola, integriti, perolehan dan pengurusan kewangan.
Beliau berkata ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran prinsip tadbir urus yang melibatkan pengurusan sumber manusia, pelan pembangunan, kewangan dan perolehan.
“Saya dan semua cabang perkhidmatan iaitu laut, darat dan udara, saya janji kita akan lakukan ‘total clean up’,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Mula Tugas Panglima ATM ke-24 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan mengenai pertemuannya menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan menerima beberapa titah penting yang perlu diberi perhatian segera, termasuk berkaitan kepimpinan melalui tauladan, integriti dalam perkhidmatan, pengurusan dan tatakelola.
“Tuanku menitahkan supaya disiplin perlu ditegakkan sebagai ketumbukan utama yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Seri Paduka Baginda turut menekankan soal kebajikan anggota serta keperluan memelihara dan memperkukuhkan semula moral warga ATM yang terjejas akibat perkembangan semasa.
Mengulas isu semasa yang mencetuskan kebimbangan rakyat berhubung integriti yang melanda ATM kebelakangan ini, Malek Razak berkata ATM mengambil maklum keresahan masyarakat yang merupakan antara pemegang taruh terbesar kepada keselamatan negara.
“Kita akur dan faham kerisauan rakyat, Pekara yang berlaku itu adalah satu ‘wake up call’ kepada pengurusan ATM terutamanya melibatkan tatakelola, integriti, perolehan, pembangunan dan pengurusan kewangan,” katanya.
Beliau berkata tindakan awal telah diambil oleh Kementerian Pertahanan dalam tempoh sebulan lalu dan proses penambahbaikan akan diteruskan secara menyeluruh.
“Alhamdulillah, ada hikmahnya apa yang berlaku. Ia mengajar kita untuk melihat kembali dan bermuhasabah, sama ada sebagai individu atau organisasi, supaya kita lebih stabil dan bersedia,” katanya.
Katanya ATM merupakan sebuah organisasi yang berdaya tahan dan mampu bangkit semula daripada sebarang kelemahan.
“Ini masanya kita perbetulkan kembali apa yang salah, kita uruskan apa yang berlaku itu dan kita 'move a head' (bergerak ke hadapan),” katanya sambil menegaskan akan menggariskan amanat serta pelan tindakan terperinci dalam masa terdekat bagi menangani isu berkenaan.
“Bagaimana kita nak mengorak langkah ke hadapan sebagai satu ketumbukan utama yang dipercayai, diyakini dan menjadi satu ‘trust’ (kepercayaan) kepada rakyat,” katanya.
Malek Razak turut menyifatkan jawatan Panglima ATM sebagai satu amanah besar, terutamanya dalam keadaan semasa yang mencabar.
“Panglima Tentera is not an easy job (bukan tugas mudah), terutamanya dalam keadaan sekarang. Tetapi dengan kerajaan yang ada, kepimpinan tertinggi negara, Menteri Pertahanan dan seluruh warga pertahanan, insya-Allah kita akan kembalikan keyakinan rakyat terhadap ATM,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial