BUKIT MERTAJAM, 5 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang kini melaksanakan sepenuhnya penggunaan kamera badan atau body worn camera (BWC) bagi anggota penguat kuasanya sebagai langkah meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pelaksanaan operasi penguatkuasaan.
Pengarah JPJ Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata penggunaan kamera badan itu bertujuan merakam semua aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan di lapangan, sekali gus membuktikan kesungguhan JPJ dalam melaksanakan tugas secara telus dan berintegriti.
“Sebenarnya penggunaan kamera badan telah mula digunakan sejak November 2025 setelah edaran dibuat oleh ibu pejabat dan tahun ini kami pertingkatkan penggunaannya serta dilaksanakan sepenuhnya.
“Penggunaan kamera badan itu bertujuan merakam semua interaksi antara anggota penguat kuasa dengan pengguna jalan raya yang bukan sahaja untuk melindungi hak pengguna, malah melindungi anggota penguat kuasa daripada salah faham, tuduhan tidak berasas serta dakwaan salah laku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perhimpunan Setia JPJ Pulau Pinang di pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya di sini hari ini.
Zulkifly memaklumkan setakat ini sebanyak 14 unit kamera badan digunakan oleh anggota penguat kuasa JPJ Pulau Pinang, melibatkan 14 anggota setiap hari yang bertugas dalam operasi atau di lapangan.
Beliau berkata rakaman kamera badan itu dipantau secara masa nyata oleh pasukan pemantau di ibu pejabat dan sebarang aduan melibatkan pengguna jalan raya akan diberi perhatian serta respons segera mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Zulkifly ketika mengulas mengenai perancangan penambahan kamera badan di JPJ Pulau Pinang berkata perolehan itu dibuat di peringkat ibu pejabat JPJ dan bukan di peringkat negeri, namun terdapat perancangan untuk menambah jumlah kamera badan di peringkat negeri dari semasa ke semasa.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan mempertingkatkan operasi penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan berat khususnya pemandu lori, susulan kebimbangan terhadap trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan mereka.
Menurut Zulkifly, perkara itu dikesan melalui beberapa operasi bersepadu yang dijalankan sebelum ini bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (ADK) serta agensi penguatkuasaan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial