WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Mungkin Pertimbang Semula Sokongan Terhadap Sektor REIT - Amir Hamzah

05/02/2026 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan semula penerusan sokongan terhadap sektor amanah pelaburan hartanah (REIT) memandangkan industri itu telah mencapai tahap kematangan dan daya maju komersial yang tinggi, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata Malaysia telah memanfaatkan perniagaan REIT sejak 21 tahun lepas, dan sektor REIT kini menjadi alternatif berdaya maju untuk syarikat mengukuhkan lembaran imbangan masing-masing.

Permodalan pasaran REIT mencecah kira-kira RM57 bilion tahun lepas berbanding kurang daripada RM1 bilion ketika REIT mula diperkenalkan manakala pasaran telah menerima REIT sebagai penambahbaikan penting kepada pasaran modal, katanya.

“Jika perniagaan REIT sudah matang dan berdaya maju, mungkin kerajaan perlu mempertimbangkan semula sama ada masih perlu memberikan lagi sokongan, memandangkan REIT telah menjadi sektor yang besar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berada dalam sesi perbincangan mengenai fiskal dan dasar monetari yang dimudah cara oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed di Forum Ekonomi Malaysia 2026.

Ketika ditanya sama ada kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menyemak unjuran pertumbuhan tahun ini, Amir Hamzah menyuarakan keyakinan dengan berkata kemungkinan terdapat pelarasan positif terhadap unjuran itu apabila diteliti semula pada April.

“Bagaimanapun, berikan mereka (BNM) masa untuk meneliti angka-angka itu untuk menyokong unjuran dengan betul.

“Fokus Kerajaan MADANI adalah untuk melaksanakan perkara yang telah kita tetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 dan yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan asas ekonomi kekal sangat kukuh,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan