WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dokumen Halal Meragukan, AKPS Rampas Ayam Sejuk Beku Bernilai Lebih RM285,000 

06/02/2026 08:22 PM

ALOR SETAR, 6 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merampas satu konsainan ayam sejuk beku seberat 25,920 kilogram bernilai RM285,120 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam. 

Ketua Bahagian Biosekuriti AKPS Bukit Kayu Hitam, Rohaimishah Che Me berkata rampasan pada 8.30 malam itu dilakukan selepas mendapati isu ketidakpadanan dokumen halal semasa pemeriksaan dijalankan.

“Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan sebuah kontena yang diisytiharkan membawa ayam sejuk beku melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam.

“Pemeriksaan fizikal mendapati nombor rujukan pada sijil halal tidak sepadan dengan maklumat pada pembungkusan dan kotak barangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan dapatan awal, penyampaian maklumat konsainan berkenaan dipercayai tidak tepat atau mengelirukan. 

Beliau berkata keseluruhan konsainan disita untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

AKPS memberikan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan makanan, pematuhan undang-undang serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara, khususnya di pintu masuk sempadan negara.

“Orang awam mahupun pihak industri diingatkan supaya memastikan semua dokumentasi import, terutama berkaitan pensijilan halal dan keselamatan makanan lengkap, sah dan selaras dengan peraturan semasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan