WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PDRM Tumpaskan Tiga Sindiket, Rampas Pelbagai Jenis Dadah Bernilai Lebih RM200 Juta

06/02/2026 09:21 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM208.25 juta dalam beberapa serbuan sejak 30 Jan hingga 3 Feb lepas, di sekitar Lembah Klang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya turut berjaya menahan ketua ketiga-tiga sindiket itu bersama sembilan anggota.

Beliau berkata dalam operasi pertama yang dijalankan pada 30 Jan lepas pihaknya telah berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 48 tahun semasa menaiki kereta di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah pada 10.50 malam.

"Soal siasat terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan terhadap sebuah kereta yang diletakkan di Jalan Kuchai Lama di sini dan pemeriksaan berjaya menemukan 255 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 265 kilogram (kg) bernilai RM13.25 juta," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.

Beliau berkata suspek pertama berperanan sebagai ketua sindiket, manakala dua lagi suspek bertindak sebagai “transporter” yang membawa dadah berkenaan dari Pantai Timur ke Lembah Klang untuk dipasarkan.

"Ketiga-tiga suspek telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 hari ini," katanya.

Dalam operasi berasingan di sekitar Kepong di sini pada 31 Jan lepas, Hussein berkata pihaknya menahan masing-masing seorang lelaki dan wanita tempatan, serta seorang wanita warga asing berusia lingkungan 38 hingga 58 tahun, dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM180 juta.

"Dadah yang dirampas melibatkan MDMA seberat 843.8 kg, pil erimin 5 seberat 325.2 kg, pil ekstasi 104.3 kg, serbuk ketamin (97.7 kg), methamphetamine (9.5 kg). 

"Modus operandi sindiket ini menjadikan rumah sewa di Lembah Klang sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa," katanya.

Turut disita empat kereta bernilai RM118,800 milik sindiket berkenaan.

"Semua suspek direman selama 12 hari hingga 11 Feb depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Pada 2 dan 3 Feb, polis menahan enam individu berusia 31 hingga 37 tahun melibatkan tiga lelaki tempatan, masing-masing seorang wanita tempatan, dan wanita serta lelaki warga asing kerana terlibat dalam pengedaran dadah disyaki bunga ganja ke luar negara.

Hussein berkata pihaknya berjaya menahan semua individu berkenaan di sekitar Selangor.

Tangkapan pertama melibatkan tiga individu yang juga ketua sindiket dan dua warga asing di terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan pemeriksaan terhadap bagasi yang dibawa oleh dua individu warga asing berkenaan menemukan 60 bungkusan dipercayai bunga ganja seberat 33 kg.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua warga asing itu dijadikan keldai dadah untuk penyeludupan bunga ganja ke United Kingdom dan mereka dipercayai menerima bayaran sebanyak RM10,000 dan pakej percutian dan tiket penerbangan," katanya.

Hussein berkata soal siasat terhadap suspek pertama membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Bandar Damai Perdana, Cheras dan 254 bungkusan bunga ganja seberat 133 kg dirampas.

"Polis kemudian melakukan serbuan di Taman Equine dan di Bayan Lepas Pulau Pinang. Tiga lagi individu tempatan dipercayai ahli sindiket ditahan dan 40 bungkusan bunga ganja seberat 22 kg dirampas," katanya.

Sindiket yang aktif sejak bulan lepas itu menyeludup masuk bekalan bahan terlarang berkenaan melalui laluan haram di utara Semenanjung.

"Semua suspek direman selama tujuh hari hingga 9 Feb ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan