WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Selangor Sasar 80 Emas Pada SUKMA 2026

08/02/2026 11:47 AM

SHAH ALAM, 8 Feb (Bernama) -- Kontinjen Selangor menyasarkan 80 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di negeri itu pada Ogos ini.

Exco Belia, Sukan, dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata antara sukan sasaran emas pada temasya dwitahunan itu ialah olahraga dan renang. 

“Kita dalam persiapan yang baik untuk semua sukan dan pada peringkat Majlis Sukan Negeri, kita bukan sahaja membangun dan melengkapkan atlet SUKMA sahaja tetapi juga Para SUKMA. 

“Kita akan cuba memastikan prestasi dan latihan atlet Para SUKMA mencapai standard sama seperti atlet lain untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dan tercicir,” katanya selepas Majlis Pelancaran Sukarelawan SUKMA & Para SUKMA Selangor 2026 di sini hari ini. 

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. 

Pada SUKMA 2024 di Sarawak, kontinjen Selangor menduduki tempat ketiga dengan kutipan 181 pingat, iaitu 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa. 

Selain itu, Mohd Najwan berkata persiapan penganjuran SUKMA telah mencapai 80 peratus dengan kesemua kemajuan proses naik taraf venue mendahului sasaran asal. 

“Kita kini sedang menunggu kerja naik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan, Seksyen 13 dan Lapang Sasar Tembak, Subang, iaitu dua fasiliti terbesar yang sedang dinaik taraf manakala yang lain seperti Stadium hoki dan fasiliti di daerah terlibat juga berjalan dengan baik,” katanya. 

SUKMA 2026 akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang manakala Para SUKMA Selangor dari 5 hingga 10 Sept. 

Sebanyak 474 acara daripada 37 sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan manakala Para SUKMA yang berlangsung di Petaling dan Klang melibatkan 10 sukan dan 316 acara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan