WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tahan 19 Individu Dalam Ops Aman Garah

08/02/2026 04:02 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Polis menahan 19 individu termasuk dua suspek utama bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan sebuah kompleks membeli-belah di sini, malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kesemua yang ditahan ialah warga tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun dan terdiri daripada 15 lelaki serta empat wanita.

“Dua suspek utama, iaitu penyelaras himpunan dan seorang aktivis dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.

Fadil berkata mereka disiasat mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata 17 lagi ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah sebagai tindakan pencegahan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira 2.00 pagi tadi.

Fadil berkata perhimpunan yang membabitkan kira-kira 100 peserta itu tidak dibenarkan atas faktor risikan keselamatan.

“Polis telah menerima pemakluman penganjuran himpunan daripada penganjur dan selepas pertimbangan dan risikan keselamatan, polis tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan,” katanya. 

Beliau berkata polis menerima sebanyak 131 laporan di seluruh negara berhubung penganjuran perhimpunan itu.

Sementara itu, Fadil berkata polis menahan tiga lelaki tempatan di Klang Utara kerana terlibat dalam hantaran provokatif berbaur hasutan menerusi aplikasi TikTok berhubung isu yang sama.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi isu agama, kaum dan raja sehingga boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata tiga suspek itu mempunyai rekod jenayah lampau dan direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Fadil mengingatkan orang ramai agar tidak terikut-ikut dengan provokasi di media sosial dan menyalurkan bantahan melalui saluran yang betul bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan