WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lebih 377,000 Asnaf Layak Terima Bantuan - Zakat Selangor

11/02/2026 03:59 PM

KUALA LANGAT, 11 Feb (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) akan mengagihkan bantuan kepada 78,656 ketua keluarga melibatkan jumlah keseluruhan RM35,983,800 bermula 1 Ramadan bersamaan 19 Feb di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor Mohd Khaizir Shahari berkata daripada jumlah itu sebanyak RM13.18 juta akan disalurkan kepada 27,815 ketua keluarga asnaf fakir, RM21.36 juta kepada 44,943 asnaf miskin dan RM1.56 juta kepada 4,898 mualaf. 

“Secara terperinci asnaf fakir akan menerima kadar minimum bantuan sebanyak RM350, manakala kadar minimum bagi asnaf miskin ialah RM300, serta kadar maksimum bantuan yang akan diterima adalah sebanyak RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.

“Antara yang terlibat 8,414 asnaf di daerah Gombak (RM3.84 juta), 12,217 di Hulu Langat (RM5.65 juta), 6,717 di Hulu Selangor (RM3.08 juta), 13,167 di Klang (RM6.03 juta), 6,296 di Kuala Langat (RM2.92 juta), 7,329 di Kuala Selangor (RM3.29 juta), 14,778 di Petaling (RM6.79 juta), 5,809 di Sabak Bernam (RM2.53 juta) dan 3,929 di Sepang (RM1.81 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Program Simbolik Agihan Bantuan Ramadan dan Hari Raya 1447H/2026M di Pusat Konvensyen KSL, yang turut dihadiri Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Miszairi Sitiris, di sini hari ini. 

Beliau berkata bantuan itu disalurkan melalui pelbagai kaedah termasuk pembayaran terus ke akaun bank penerima atau ketua keluarga, e-dompet, v-cash (baucer tunai cawangan Bank Islam) atau secara tunai bagi kes tertentu dengan tujuan memastikan asnaf menerima bantuan lebih pantas, selamat serta mudah diakses.

“Kami memperkukuh mekanisme agihan menerusi sistem digital EZO (EZakat Online) bagi memastikan ketelusan, kecekapan dan kebolehcapaian semakan status bantuan oleh penerima.

“Pendekatan pelbagai saluran pembayaran ini juga bertujuan memastikan tiada asnaf tercicir, khususnya di kawasan luar bandar atau yang berdepan kekangan akses perbankan," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Khaizir memaklumkan setiap penerima yang layak akan dihubungi melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) menerusi nombor telefon yang berdaftar dengan Zakat Selangor, selain membuat semakan status bantuan melalui ezo.zakatselangor.com.my.

Zakat Selangor komited memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar lebih awal supaya persiapan Ramadan dan Aidilfitri dapat dibuat dengan lebih terancang.

Sementara itu, beliau menjelaskan agihan berkenaan bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata tetapi antara bentuk intervensi sosial meringankan beban kos sara hidup yang semakin mencabar, di samping memastikan kebajikan asnaf terus terpelihara.

“Zakat Selangor akan terus mempertingkatkan kecekapan tadbir urus zakat agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh dan berimpak kepada kesejahteraan sosioekonomi asnaf.

"Fokus kami (Zakat Selangor) memastikan agihan ini bersasar mengikut keperluan setempat berdasarkan profil kemiskinan setiap daerah termasuk memperkukuh pemantauan pascaagihan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Khaizir menyaksikan penyerahan replika cek cura Wakalah Korporat daripada pihak Public Islamic Bank Berhad bernilai RM50,000 diikuti bantuan keperluan asas kepada 60 keluarga oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan