WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Sarawak 17 Feb

11/02/2026 04:03 PM

KUCHING, 11 Feb (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 peringkat negeri Sarawak akan diadakan pada 17 Feb, mencerminkan semangat keterangkuman dan keharmonian yang telah lama menjadi asas kekuatan serta kestabilan negeri, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Dalam kenyataan hari ini beliau mengalu-alukan kehadiran orang awam pada sambutan tahunan itu yang menjadi platform penting untuk memupuk perpaduan, hormat-menghormati dan persefahaman dalam kalangan pelbagai komuniti di Sarawak.

“Semua diundang ke sambutan ini untuk saling berinteraksi dan mengeratkan silaturahim merentasi komuniti sambil menikmati hospitaliti yang disediakan.

“Sambutan terbuka ini merangkumi nilai perkongsian, kebersamaan dan penghargaan bersama-sama yang mentakrifkan keunikan sosial Sarawak,” katanya.

Dr Sim yang juga menteri bertanggungjawab untuk sambutan itu berkata acara berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dari 10 pagi hingga 2 petang.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga dijadualkan menghadiri sambutan itu.

Beliau berkata tetamu kehormat mewakili pelbagai komuniti Sarawak juga dijangka hadir yang melambangkan perpaduan kepimpinan serta komitmen kolektif ke arah memelihara keamanan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang etnik serta agama di negeri itu.

“Penganjuran sambutan peringkat negeri menggariskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sarawak untuk memperkukuh perpaduan sosial, meningkatkan keharmonian antara etnik dan memastikan kestabilan yang berterusan.

“Elemen ini kekal sebagai tonggak utama dalam memacu agenda pembangunan dan kemakmuran jangka panjang Sarawak,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan