WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia-Indonesia Bincang Isu Bekalan Arang Batu - Fadillah

11/02/2026 08:43 PM

JAKARTA, 11 Feb (Bernama) -- Malaysia mengadakan perbincangan dengan Indonesia berkenaan isu bekalan arang batu, susulan keputusan pembekal arang batu terma terbesar dunia itu mengurangkan  pengeluaran tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu antara dibangkitkan ketika pertemuan bersama Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia Bahlil Lahadalia dan Utusan Khas Presiden bagi Tenaga dan Iklim Hashim Djojohadikusumo, yang diadakan secara berasingan pada Rabu.

“Sekarang ini memang Indonesia membekalkan arang batu kepada TNB (Tenaga Nasional Berhad). Jadi kita nak dapat kepastian dengan perubahan-perubahan yang berlaku dari segi dasar dan juga strategi dekat Indonesia. 

“Kita harapkan ia tidak akan menjejaskan bekalan arang batu ke Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas dijemput menjadi panel untuk sesi dialog di Forum Iklim ASEAN, di sini.

Fadillah  yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air kini berada dalam rangka lawatan tiga hari ke Jakarta sejak semalam bagi memperkukuh kolaborasi strategik sektor tenaga antara kedua-dua negara.

Bahlil sebelum ini dilapor mengumumkan bahawa Kerajaan Indonesia akan mengurangkan pengeluaran arang batu tahun ini kepada sekitar 600 juta tan, berkurang sebanyak 24 peratus berbanding pengeluaran tahun sebelumnya sebanyak 790 juta tan.

Beliau berkata pengurangan sasaran pengeluaran itu bertujuan mendorong harga arang batu kembali meningkat serta memastikan kelestarian dan rizab arang batu negara itu pada masa hadapan.

Sementara itu, Fadillah berkata ketika pertemuan bersama kedua-dua pemimpin Indonesia itu turut dibincangkan ialah mengenai Grid Kuasa ASEAN, kabel bawah laut menghubungkan Sarawak dan Johor, dan lanjutan perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia berhubung kerjasama bidang tenaga.

“Alhamdulillah saya nak ucapkan terima kasih kepada Pak Bahlil dan juga dengan Pak Hashim kerana memahami dan sedia menyokong apa yang telah kita bincangkan tadi,” katanya.

Mengenai bekalan tenaga ke Indonesia, Fadillah berkata Malaysia bersedia “bergerak bersama”, sekiranya ada permintaan dari negara jiran berkenaan.

“Ini juga satu daripada yang kita bincangkan tadi,” katanya menambah bahawa Sarawak kini membekalkan 100 megawatt elektrik kepada Kalimantan Barat

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan