WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Rumah Meter Berpusat Tangani Kecurian Elektrik Di Kawasan Setinggan

11/02/2026 08:46 PM

SEMPORNA, 11 Feb (Bernama) -- Selepas lebih tiga dekad hidup tanpa bekalan elektrik sah, penduduk Kampung Selamat di sini kini berasa lega dan gembira apabila projek rumah meter berpusat yang dilaksanakan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) siap pada Ogos tahun lepas.

Projek inovatif itu, yang memilih Kampung Selamat sebagai lokasi perintis pelaksanaannya di Sabah, bertujuan menangani kegiatan sambungan elektrik haram di kawasan penempatan setinggan.

Peniaga Muhd Dani Kaising, 62, berkata projek berkenaan menamatkan episod derita lebih 35 tahun yang dialaminya akibat tiada bekalan elektrik sah, sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk kampung.

“Saya senang hati. Sebelum ini, saya menggunakan generator dan hanya pada sebelah malam sahaja ada elektrik. Generator itu perlu dijaga, minyak sentiasa kena tambah, kadang enjin rosak, kos tinggi, dan elektrik cuma ada malam sahaja. Kini, sehari penuh ada elektrik. Ada peti sejuk, dan walaupun bil RM300, saya sanggup bayar.

“Saya tidak mahu sesiapa mencuri elektrik. Saya jaga meter sendiri dan tidak benarkan orang menumpang kerana ini bahaya,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung itu, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Datuk Mohd Yaakob Jaafar meninjau projek rumah meter berpusat itu di kampung tersebut.

Seorang lagi penduduk kampung, Abdul Muin, 67, berkata bekalan elektrik di kampung kini lebih stabil sejak projek berkenaan dilaksanakan tahun lepas.

“Saya senang hati, sudah tentu kita mahu bekalan elektrik yang rasmi, ada meter, dan selamat. Terima kasih kepada kerajaan," katanya yang menetap di kampung itu lebih 40 tahun.

Sementara itu, Mohd Yaakobberkata projek bernilai kira-kira RM266,000 itu siap pada 7 Ogos tahun lepas serta memberi manfaat kepada 54 pengguna.

Beliau berkata projek perintis tersebut dilaksanakan di Semporna kerana daerah itu merekodkan kadar kecurian elektrik tertinggi di Sabah iaitu sebanyak 32 peratus.

“Kegiatan mencuri elektrik menyebabkan gangguan bekalan berlaku kerap di kawasan sekitar, dan melalui projek ini, kerugian hasil dianggarkan RM220,000 setahun dapat dielakkan.

“Jumlah Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) di kawasan sekitar berkurangan daripada 87 gangguan (3.25 minit/pengguna) pada 2024 kepada 32 gangguan (1.62 minit/pengguna) pada 2025,” katanya.

Beliau berkata projek yang siap dalam tempoh setahun itu merangkumi pembinaan rumah meter, pembangunan infrastruktur bekalan elektrik, serta penyusunan meter ke satu lokasi sama.

Mohd Yaakob berkata projek itu turut memperkenalkan konsep aturan komuniti selamat, di mana masyarakat setempat di kawasan setinggan yang mempunyai bekalan elektrik sah memantau dan mengawal kabel elektrik masing-masing, sekali gus membantu membanteras kegiatan mencuri elektrik.

Projek sama dijangka diperluaskan ke kawasan setinggan Kampung Delima, Kota Kinabalu, bermula April ini, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan