KOTA KINABALU, 11 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sipitang meningkat kepada 91 orang daripada 43 keluarga malam ini berbanding 34 orang daripada 13 keluarga petang tadi.
Menerusi kenyataan, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan kesemua mangsa merupakan penduduk dari tujuh kampung yang berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah yang beroperasi sejak 12 tengah hari tadi.
"Satu lagi PPS iaitu Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Berampah dibuka pada 6.40 petang tadi dan proses pendaftaran penduduk kampung terjejas banjir sedang dijalankan," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Abd Karim A M Zahari yang juga Pegawai Daerah Sipitang memaklumkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah diaktifkan sepenuhnya susulan laporan banjir dan maklumat lapangan diterima daripada agensi keselamatan berhubung situasi itu.
Petugas antaranya terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam sedang digerakkan ke kampung-kampung yang terlibat bagi menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa dari kediaman dinaiki air ke PPS.
Hujan lebat sejak petang Selasa telah menyebabkan kenaikan paras air Sungai Mengalong dan mengakibatkan banjir di kawasan kampung berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial