WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hamzah Tidak Rayu Pemecatan, Pilih Kekal Bebas

14/02/2026 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada Lembaga Disiplin berhubung pemecatannya sebagai ahli parti.

Hamzah berkata beliau kini merupakan Ahli Parlimen Bebas yang menerima sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), iaitu seramai 19 orang daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu.

"Saya tidak akan merayu. 'I'm a free man now.' Saya tidak perlu lagi mendengar perkara yang terpaksa dilakukan tanpa kerelaan," katanya, Ahli Parlimen Larut itu, pada sidang media selepas Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Hamzah Zainuddin di sini, hari ini.

Mengenai kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang, Hamzah berkata perkara itu akan diumumkan kemudian, memandangkan sokongan Ahli Parlimen Pembangkang akan menentukan jawatan tersebut di Dewan Rakyat.

Ditanya mengenai hala tuju politiknya, beliau berkata akan mempunyai 'rumah baharu', sama ada dalam bentuk parti baharu atau kembali ke parti lama.

Menjawab persoalan mengenai kedudukannya dalam PN, Hamzah menjelaskan itu adalah proses seterusnya, memandangkan beliau sendiri belum pasti sama ada akan terus menggunakan platform PN atau menubuhkan jajaran baharu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditemui media selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di sini, berkata Hamzah mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin susulan pemecatannya.

Azmin berkata Bersatu juga belum memutuskan calon bagi menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pemecatan Hamzah daripada Bersatu tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang.

Mengulas lanjut, beliau berkata Majlis Tertinggi PN dijangka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu menggantikan Tan sri Muhyiddin Yassin pada minggu depan.

"Kita akan meneliti agenda mesyuarat, termasuk pelantikan Pengerusi PN yang baharu. Tarikh mesyuarat dijangka sekitar 19 sehingga 22 Februari ini," katanya.

Takiyuddin berkata PAS akan mengemukakan seorang calon Pengerusi PN pada mesyuarat berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan