WILAYAH - UTARA > BERITA

Hasil Perikanan Di Perak Rekod Lebih 300,000 Tan Metrik Tahun Lepas

15/02/2026 03:49 PM

SUNGAI SIPUT, 15 Feb (Bernama) -- Jumlah pendaratan hasil perikanan di Perak merekodkan kira-kira 300,000 tan metrik tahun lepas sekali gus meletakkan negeri itu sebagai pengeluar perikanan utama di negara ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jumlah itu memberikan kekuatan kepada Perak untuk menyusun pengedaran ikan ke seluruh negara dengan lebih cekap dan selaras.

"Apabila pengeluaran kukuh dan pengedaran diatur dengan baik, hasil tangkapan dapat sampai kepada pengguna dalam keadaan segar dan nelayan pula mendapat pasaran yang lebih stabil serta berterusan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak di Arena Sungai Siput di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Pengarah LKIM Perak Ahmad Zulkifli Ismail.

Dalam pada itu, beliau berkata Program Jualan Sejahtera Rakyat Ikan Murah akan dilaksanakan di kesemua daerah di negeri ini dengan lima tapak kekal bagi setiap daerah sebagai lokasi utama jualan. 

Saarani berkata selain tapak kekal, jualan turut diadakan selepas solat Jumaat di masjid terpilih. 

"Bagi memastikan capaian lebih luas, jualan bergerak melalui khemah, motosikal roda tiga dan lori akan dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu di lokasi-lokasi terpilih. 

"Secara keseluruhannya, lebih 1,000 siri jualan disasarkan sepanjang tahun 2026. Ini menunjukkan pelaksanaan program ini bukan bersifat sementara tetapi dirancang secara berterusan dan konsisten sepanjang tahun," katanya.

Sementara itu, pelanggan Tun Saliha Nasarudin, 60, dari Kampung Sungai Sejuk dekat sini berkata pelaksanaan program berkenaan sangat membantu meringankan beban perbelanjaan harian.

"Saya beli sotong, udang, ikan untuk keperluan bagi tempoh seminggu hanya kira-kira RM50 sahaja berbanding apabila beli di kedai menjual barangan basah, saya perlu berbelanja RM140.

"Saya berharap program begini selalu diadakan apatah lagi menjelang musim perayaan nanti," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan