KOTA BHARU, 15 Feb (Bernama) -- Tiga pelajar Orang Asli dari Kelantan berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila ditawar melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP).
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Siti Norina Muhamad berkata tiga pelajar berusia 13 tahun itu ialah Muhamad Putra Faizul Ab Ghani, Nur Muhammad Al-Khawarizmi Rosmi dan Nor Cristina A/P Ranya yang akan memulakan pembelajaran pada 23 Feb ini.
Beliau berkata kali terakhir pelajar Orang Asli memasuki SPB ialah 10 tahun lepas dan ketiga-tiga pelajar tersebut membuktikan bahawa perkara itu boleh dicapai sekiranya diberikan peluang serta sokongan berterusan.
"Kita di JPN Kelantan sangat bangga dengan kejayaan mereka dan dua daripada mereka ditawarkan ke SBP Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra manakala seorang lagi ke Sekolah Menengah Sains Gua Musang.
"Malah, Kementerian Pendidikan akan menanggung perbelanjaan bagi pendaftaran ketiga-tiga pelajar ini," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan JPN Kelantan di Dewan Sri Tunjong di sini hari ini.
Muhamad Putra Faizul daripada Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, Jeli berharap kejayaannya menjadi pembakar semangat kepada anak-anak Orang Asli untuk melayakkan diri ke SBP.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata dia mahu berjaya dalam pelajaran sekali gus ingin membuktikan bahawa pelajar daripada komuniti Orang Asli juga mampu bersaing dalam bidang akademik sekiranya mempunyai tekad dan kesungguhan untuk berjaya.
"Saya akan menggunakan peluang yang diberikan ini untuk mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang guru Bahasa Melayu agar dapat menabur bakti dan membantu anak bangsa untuk berjaya kelak," katanya.
Sementara itu, mengenai penularan tuberkulosis atau tibi, Siti Norina berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk mempergiat pemantauan sebagai langkah pencegahan awal membendung penularan penyakit tersebut.
Beliau berkata kerjasama itu termasuk usaha pengesanan awal kes, saringan terhadap individu berisiko serta pemantauan terhadap kontak rapat bagi memastikan rawatan dapat diberikan segera.
"Penutupan sekolah hanya akan dilakukan sekiranya ia disarankan secara rasmi oleh pihak kesihatan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial