WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anggota Bomba Dan Adik Dikhuatiri Lemas Di Pantai Kandis

17/02/2026 11:38 PM

KOTA BHARU, 17 Feb (Bernama) -- Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan adik lelakinya dikhuatiri lemas di Pantai Kandis, Bachok petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Khairul Faiz Ariffin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.29 petang dan tiba di lokasi 6.07 petang.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati benar terdapat dua beradik lelaki Ahmad Badrul Naim Ab Wahab, 32, dan Ahmad Nuruddin Ab Wahab, 21, hilang dan dipercayai lemas di pantai itu.

"Kita dapati seorang mangsa ialah anggota JBPM daripada BBP Bayan Baru.

“Kedua-dua mangsa dikatakan datang berkelah bersama ahli keluarga yang lain di pantai berkenaan namun hilang selepas berjaya menyelamatkan anak saudara mereka yang dipercayai lemas di kawasan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sembilan anggota BBP Bachok diarah membuat pencarian di persisiran pantai namun setakat ini mangsa belum ditemui dan operasi masih diteruskan.

"Operasi mencari turut disertai Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pengkalan Chepa dan Pengkalan Kubor," katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan