WILAYAH - SARAWAK > BERITA

1,148 Rakyat Palestin Seberang Lintasan Rafah Yang Dibuka Semula 

20/02/2026 03:34 PM

GAZA, 20 Feb (Bernama-Xinhua) -- Pejabat media Gaza pada Khamis memaklumkan seramai 1,148 rakyat Palestin telah menyeberangi lintasan sempadan Rafah di kedua-dua arah sejak ia dibuka semula awal bulan ini, lapor agensi berita Xinhua.

Dalam kenyataan media ringkas, pejabat itu menyatakan bahawa seramai 1,148 pengembara melalui lintasan berkenaan daripada 3,400 yang dijangka menyeberanginya dalam tempoh sama.

Menurut kenyataan itu, seramai 640 individu keluar manakala 508 lagi kembali ke Semenanjung Gaza dari 2 Feb hingga Rabu. Ia menambah bahawa 26 rakyat Palestin diarahkan berpatah balik ketika cuba meninggalkan wilayah itu tanpa sebarang penjelasan.

Menurut laporan media, seramai 50 rakyat Palestin, termasuk pesakit dan individu yang cedera dijangka meninggalkan Gaza setiap hari dengan diiringi dua pengiring, manakala 50 lagi dijangka pulang setiap hari.

Pada Isnin, Hamas menuduh Israel melakukan “pelanggaran terang-terangan” terhadap mekanisme operasi lintasan Rafah seperti yang ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata.

Dalam satu kenyataan media, Hamas berkata walaupun lintasan sempadan itu dibuka semula, pihak berkuasa Israel terus melanggar mekanisme yang dipersetujui dan melakukan penganiayaan fizikal serta psikologi selain soal siasat keras terhadap pengembara yang pulang.

Kumpulan itu menambah bahawa Israel gagal mematuhi kuota harian bagi pergerakan keluar dan masuk, sekali gus meletakkan nyawa ribuan pesakit dan individu yang cedera dalam bahaya akibat kelewatan menerima rawatan perubatan di luar negara.

Operasi terhad lintasan Rafah bermula pada 2 Feb lepas, menandakan pembukaan semula separa pertamanya dalam tempoh lebih setahun setengah. Langkah itu merupakan sebahagian daripada fasa percubaan awal di bawah perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.

Pengembara yang pulang serta puak Palestin menuduh tentera Israel menyekat kebebasan pergerakan mereka melalui pemeriksaan menyeluruh, soal siasat berpanjangan dan rampasan barangan peribadi. Pihak berkuasa Israel belum mengulas mengenai dakwaan itu.

Lintasan Rafah sebahagian besarnya ditutup sejak tentera Israel menguasai kawasan berkenaan pada Mei 2024, sekali gus memutuskan hubungan Gaza dengan dunia luar dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan