
Lebih enam dekad Lawas terpisah daripada sistem grid negeri, memaksa daerah terpencil di utara Sarawak ini bergantung pada penjanaan kuasa berasaskan diesel bagi memenuhi keperluan bekalan elektriknya.
Namun, sejak 2019, landskap tenaga kawasan yang terletak 1,200 kilometer (km) dari Kuching ini mengalami perubahan secara berperingkat, beralih daripada bahan api fosil kepada tenaga hidro.
Teras peralihan ini ialah Loji Hidroelektrik Mini Kota 2 yang terletak 27 km dari pekan Lawas, sebuah fasiliti berkonsepkan aliran sungai dengan kapasiti 10.5 megawatt (MW) dan menjadi pemangkin utama peralihan Lawas kepada tenaga lebih bersih dan mampan.
Beroperasi secara rasmi pada 2019 di bawah strategi tenaga boleh baharu (TBB) Sarawak Energy Berhad (SEB), loji itu menjana kuasa daripada Sungai Kota dengan memanfaatkan aliran semula jadi sungai tanpa memerlukan pembinaan empangan atau takungan besar.
Direka untuk membekalkan tenaga kepada grid terpencil, Kota 2 dibangunkan bagi menangani cabaran yang dihadapi Lawas sejak sekian lama, di mana daerah ini bergantung pada penjanaan elektrik berasaskan diesel dengan kos operasi lebih tinggi serta fleksibiliti bekalan yang terhad.
Dalam program Lawatan Media SEB baru-baru ini, para pengamal media dibawa meninjau kemudahan Kota 2 dan stesen jana kuasa diesel di daerah berkenaan, memperlihatkan perbandingan ketara antara pendekatan tenaga konvensional dan TBB.
MEMANFAATKAN AIR, KURANGKAN IMPAK ALAM SEKITAR
Naib Presiden (Hidro) SEB Jonny Wong Kwei Ji berkata penjanaan TBB di daerah itu memanfaatkan sistem hidroelektrik bertingkat yang mengoptimumkan aliran air, dan pada masa sama meminimumkan impak terhadap alam sekitar.
Hidroelektrik bertingkat ialah satu sistem yang melibatkan beberapa loji hidroelektrik dibina secara berturutan di sepanjang satu lembangan sungai, di mana air yang dilepaskan dari loji di hulu digunakan semula untuk penjanaan kuasa di stesen hilir. Pendekatan ini memaksimumkan penjanaan tenaga, meningkatkan kecekapan keseluruhan serta berupaya mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dengan memanfaatkan aliran semula jadi sungai berbanding pembinaan empangan berskala besar.
pic-2
Dalam konteks Lawas, dua loji hidroelektrik mini, iaitu Kota 1 (terletak di bahagian hilir Sungai Kota dan mula beroperasi pada 2000) serta Kota 2 (terletak di hulu sungai yang sama) beroperasi menerusi sistem bertingkat, dengan air yang digunakan di Kota 2 diguna semula di Kota 1. Bagaimanapun, hanya Kota 2 disambungkan ke grid elektrik Sarawak.
Menggambarkan loji itu sebagai contoh praktikal bagaimana sistem hidroelektrik bertingkat berfungsi, Wong berkata sistem tersebut membawa impak minimum ke atas alam sekitar berbanding dengan empangan konvensional berskala besar, selain menawarkan manfaat operasi jangka panjang berbanding penjanaan kuasa berasaskan bahan api.
Beliau berkata pembangunan sistem hidroelektrik bertingkat juga menyokong komitmen kerajaan Sarawak untuk mengekalkan 60 peratus TBB dalam keseluruhan campuran sumber tenaga negeri.
“Sumber kuasa bertingkat merupakan sebahagian daripada agenda TBB, dan menjelang 2035, kami akan membangunkan lebih banyak sistem seumpama ini,” katanya ketika ditemui di Loji Kota 2.
KURANGKAN PENGGUNAAN DIESEL, PELEPASAN KARBON
Bagi Lawas, impak pembinaan Kota 2 sudah dapat dirasakan.
Pengurus Besar Bahagian Gas SEB Cheling Sapong berkata Kota 2 dibina bagi mengurangkan kebergantungan daerah itu pada diesel, dan peralihan ke tenaga hidro turut membawa manfaat alam sekitar yang besar, terutamanya dalam mengurangkan pelepasan karbon.
pic-3
“Penjanaan elektrik menggunakan diesel membebaskan 1.2 hingga 1.5 tan metrik karbon dioksida bagi satu MW. Dengan pembekalan tenaga bersih oleh Kota 2, pelepasan karbon dapat kurangkan kira-kira tujuh tan metrik setiap hari,” katanya.
Berikutan loji ini dibina sebagai kemudahan bertingkat run-of-river, Kota 2 tidak memerlukan empangan besar, sekali gus membantu memelihara ekosistem sungai dan persekitarannya, tambah beliau.
“Impak terhadap alam sekitar sangat minimum. Oleh sebab itulah projek ini menetapi piawaian kesihatan, keselamatan dan tadbir urus,” katanya.
Walaupun loji hidroelektrik memerlukan pelaburan awal lebih tinggi, beliau berkata kos operasi jangka panjang jauh lebih rendah.
“Tidak seperti bahan api, penggunaan air tidak melibatkan kos. Dalam jangka panjang, ini akan membantu mengurangkan kos penjanaan elektrik dan memastikan bekalan yang lebih mampan,” tambah beliau.
Lawas telah diintegrasikan sepenuhnya ke dalam grid utama sejak 4 Dis 2025, kata Cheling, menambah penjanaan elektrik menggunakan diesel dikekalkan buat masa ini sebagai sandaran untuk memastikan kestabilan bekalan apabila diperlukan.
PINTU MASUK TENAGA STRATEGIK
Selain penjanaan tempatan, Lawas turut muncul sebagai pintu masuk tenaga strategik antara Sarawak dan Sabah memandangkan daerah ini terletak hanya 200 km dari Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah.
Semasa lawatan ke Substesen 275/33 kV Bandar Lawas, para wartawan diberi taklimat mengenai sambungan grid negeri yang membolehkan pemindahan kuasa rentas sempadan antara kedua-dua negeri berkenaan.
pic-4
Substesen tersebut telah ditauliahkan dan diaktifkan pada 21 Nov tahun lepas susulan siapnya talian penghantaran Bunut–Mendamit–Lawas 275 kV sejauh 301 km, sebuah projek infrastruktur utama yang melibatkan lebih 800 menara penghantaran.
Naib Presiden (Penghantaran) SEB Raphael Chung berkata pengaktifan Substesen Bandar Lawas, bersama-sama dengan talian penghantaran 275 kV Lawas–Mengalong (Sabah), menjadikan Lawas titik sambungan utama antara grid Sarawak dan Sabah.
Rangkaian pengagihan Lawas disambungkan ke grid utama Sarawak pada 4 Dis 2025, dan sembilan hari kemudian sambungan rentas sempadan ke Sabah pula diaktifkan.
Chung berkata integrasi Substesen Lawas ke dalam sistem grid Sarawak turut menyokong penghentian berperingkat penjanaan elektrik berasaskan diesel di Lawas, dan peralihan ini dijangka dapat menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil, cekap kos dan mampan untuk kawasan itu.
“Dengan menggantikan penjanaan diesel, projek ini akan menghasilkan penjimatan kos tahunan yang signifikan serta pengurangan besar dalam pelepasan karbon,” katanya.
MEMPERKUKUH KESELAMATAN TENAGA SERANTAU
Kepentingan sambungan ini melangkaui Sarawak dan Sabah.
Pada 24 Jan lalu, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersama-sama merasmikan pengaktifan Projek Sambungan Grid Kuasa Sabah-Sarawak melibatkan talian penghantaran 275 kV Lawas-Mengalong yang disifatkan mereka sebagai langkah ke depan dalam memperkukuh jaminan tenaga serantau.
pic-5
Hajiji berkata projek tersebut merupakan satu langkah transformasi ke arah pembangunan sistem bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai.
Sementara itu, Abang Johari berkata projek berkenaan mencerminkan usaha Sarawak dalam membangunkan sistem tenaga yang terjamin, dan beliau yakin projek tersebut mampu menjadi pemangkin untuk inisiatif lebih luas seperti Grid Borneo dan Grid Kuasa ASEAN.
Beliau berkata walaupun ASEAN masih belum mewujudkan rangka kerja multilateral bagi kesalinghubungan elektrik, sambungan Sarawak-Sabah membuktikan kerjasama bilateral boleh membuka laluan kepada integrasi serantau yang lebih luas.
“Kita tidak perlu bermula dari awal. Jadikan Eropah dan negara-negara Nordic sebagai model untuk kesalinghubungan elektrik,” katanya.
Daripada turbin yang dikuasakan oleh sungai di Substesen Kota 2 ke talian penghantaran voltan tinggi merentasi sempadan, Lawas kini bukan lagi petempatan terpencil di hujung grid, tetapi kian pantas menjadi simbol inspirasi TBB Sarawak dan kesalinghubungan serantau.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial