WILAYAH - SARAWAK > BERITA

99.2 Peratus Syarikat Kerajaan Aktif Patuh Objektif Penubuhan - LKAN

23/02/2026 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Penilaian audit menerusi sistem e-SelfAudit bagi mengukur pencapaian objektif penubuhan syarikat kerajaan mendapati 509 atau 99.2 peratus daripada 513 syarikat aktif telah melaksanakan aktiviti selaras objektif dalam perlembagaan syarikat.

Selain itu, empat syarikat menjalankan aktiviti tidak selaras atau tidak selaras sepenuhnya dengan perlembagaan syarikat manakala 59 syarikat lagi tidak menyediakan pelan strategik dan sembilan menyediakan pelan strategik tetapi tidak selaras dengan objektif penubuhannya.

“Pihak lembaga pengarah disarankan memastikan rantaian akauntabiliti diperkukuh dengan menyelaras aktiviti utama syarikat agar sentiasa patuh kepada perlembagaan syarikat,” menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan berkenaan turut memaklumkan penilaian aspek lembaga pengarah mendapati 385 atau 96 peratus daripada 401 syarikat bukan syarikat tujuan khas (SPV) mematuhi perlembagaan syarikat masing-masing dengan bilangan lembaga pengarah yang dilantik adalah antara satu hingga 18 orang.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan 165 atau 41.1 peratus syarikat masih tidak mengamalkan saranan komposisi lembaga pengarah seperti dalam arahan Perdana Menteri supaya keanggotaan pengarah bebas mencapai sekurang-kurangnya satu pertiga, yang boleh menjejaskan keupayaan lembaga pengarah untuk melaksanakan pengawasan secara bebas dan objektif.

Sehubungan itu, audit menyarankan supaya syarikat terlibat melakukan semakan menyeluruh terhadap komposisi lembaga pengarah berasaskan perlembagaan syarikat dan keperluan yang ditetapkan dalam arahan perdana menteri.

Selain itu, laporan itu memaklumkan analisis audit mendapati 202 daripada 401 syarikat berkenaan telah menubuhkan Jawatankuasa Audit (JKA) atau yang setara dengannya manakala peranan JKA bagi 68 syarikat dilaksanakan di peringkat syarikat induk. 

Laporan itu mendapati 119 syarikat tidak menubuhkan Jawatankuasa Audit (JKA), manakala 25 syarikat lagi gagal membentangkan laporan JKA dalam mesyuarat lembaga pengarah yang boleh menjejaskan kawalan dalaman dan tadbir urus korporat.

Sehubungan itu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan kesemua syarikat terlibat menubuhkan JKA selaras dengan amalan tadbir urus korporat terbaik bagi meningkatkan akauntabiliti dan sistem kawalan dalaman syarikat dan memastikan Laporan JKA dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah sepertimana yang disarankan.

Sistem e-SelfAudit merupakan platform digital yang dibangunkan secara dalaman oleh Jabatan Audit Negara bagi membolehkan badan lain, termasuk syarikat kerajaan yang diwartakan menjalani penilaian kendiri secara dalam talian. 

Sistem berkenaan merangkumi penilaian melibatkan enam elemen utama iaitu polisi, ekonomi, sosial, alam sekitar, teknologi dan perundangan, dengan tujuan membolehkan pemantauan serta penilaian prestasi dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan.

Pengauditan melalui sistem e-SelfAudit telah dimulakan pada Nov 2024 melalui projek rintis yang melibatkan 206 syarikat, sebelum diperluaskan kepada 1,650 entiti mulai 6 Feb 2025 hingga 30 Mei 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan