WILAYAH - TENGAH > BERITA

212,543 Pembayar Cukai Kemuka Lebih Satu Bilion Transaksi e-Invois Hingga 23 Februari 

24/02/2026 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sebanyak 212,543 pembayar cukai telah mengemukakan lebih satu bilion transaksi e-Invois secara keseluruhan sejak 2024 sehingga 23 Feb 2026, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong. 

Beliau berkata jumlah itu menggambarkan keadaan yang lebih baik dalam usaha menangani ketidakpatuhan pembayaran cukai, ketirisan cukai serta pertumbuhan pasaran gelap.

“e-Invois turut membantu syarikat mendigitalkan peniagaan mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai jumlah transaksi yang telah diterima daripada peniaga melalui e-Invois serta langkah Kementerian Kewangan bagi memastikan tahap pematuhan cukai untuk menangani isu ketidakpatuhan atau ketirisan hasil.

Mengenai risiko kenaikan harga barangan, Liew berkata kerajaan akan mengambil langkah bagi memastikan pendigitalan dilaksanakan secara meluas.

“Pendekatan kerajaan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah untuk memudahkan. Kerajaan telah memberi kelonggaran pelaksanaan e-Invois kepada syarikat dengan pendapatan kurang daripada RM5 juta. Mereka boleh menggunakan sistem e-POS secara percuma,” katanya.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan syarikat boleh menyesuai dengan infrastruktur digital terutama sistem e-POS dan boleh menggunakannya dengan selesa.

Liew berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai risiko kenaikan harga barangan secara mendadak disebabkan peniaga mula memasukkan kos risiko undang-undang dalam harga jualan.

Terdahulu, beliau menjawab soalan asal Shamshulkahar mengenai langkah kerajaan bagi memastikan pelaksanaan e-Invois fasa keempat tidak membebankan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari segi kos pematuhan seperti perisian, integrasi sistem dan latihan kakitangan.

Menurutnya kerajaan telah memperkenalkan dua kemudahan untuk membantu peniaga melaksanakan e-Invois iaitu pemberian tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan mulai 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2026 bagi fasa keempat; dan MyInvois e-POS.

"Selain itu, sesi penerangan dan libat urus terus dilaksanakan oleh LHDN kepada peniaga terutama PKS dalam membantu meningkatkan pemahaman dan memudahkan proses pelaksanaan e-Invois.

“Sehingga kini, LHDN telah melaksanakan lebih 2,500 sesi penerangan dan libat urus kepada peniaga di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan