KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan sepasang kekasih membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 173 kilogram, empat tahun lepas.
Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Adam Tan Seng Tek, 34, dan wanita warga Vietnam, Nguyen Thi Kim Thanh, 33, pada akhir kes pendakwaan.
“Mahkamah mendapati terdapat keterangan mengenai milikan dan pengetahuan secara langsung serta pengedaran (dadah) oleh kedua-dua tertuduh," kata hakim itu.
Beliau kemudian menetapkan 5 dan 6 Mei depan untuk kedua-dua tertuduh membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah di mahkamah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 172,741.10 gram di sebuah unit kondominium di Residensi Kiara Jalil 1 di sini pada 9.30 malam, 24 Feb 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan.
Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad manakala pasangan berkenaan diwakili peguam Kee Wei Lon, Ee Gen You dan Siti Summaiyah Ahmad Jaafar.
Sebanyak enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula pada 13 Okt tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial