WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ILIM Berjaya Terbitkan Sukuk US$1.29 Bilion Di Tengah-tengah Turun Naik Geopolitik Global

03/03/2026 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM), penerbit utama dunia bagi instrumen pengurusan kecairan jangka pendek patuh Syariah, berjaya menyelesaikan penerbitan semula sukuk jangka pendek bernilai US$1.185 bilion dan penerbitan baharu sukuk jangka pendek US$105 juta merentas lima tempoh berbeza.

Kelima-lima siri itu ditetapkan pada harga secara kompetitif seperti berikut — 3.80 peratus bagi US$130 juta (dua minggu); 3.85 peratus bagi US$310 juta (sebulan); 3.91 peratus bagi US$560 juta (tiga bulan); 3.85 peratus bagi US$250 juta (enam bulan); dan 3.50 peratus bagi US$40 juta (12 bulan).

Dalam satu kenyataan di sini, IILM memaklumkan lelongan sukuk itu menyaksikan penyertaan yang kukuh daripada rangkaian peniaga utama mereka, bersama pelbagai pelabur institusi daripada pelbagai bidang kuasa.

“Jumlah bidaan mencapai US$3.086 bilion, bersamaan dengan nisbah bidaan kepada terbitan purata sebanyak 2.39 kali, mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap instrumen Islam jangka pendek IILM yang berkualiti tinggi di tengah-tengah keadaan pasaran global yang sentiasa berubah,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata perkembangan terkini di Timur Tengah memberi kesan segera, dapat disaksikan melalui peningkatan turun naik di pasaran dana, pergerakan mata wang dan harga tenaga, dengan sentimen risiko menjadi lebih berhati-hati apabila pelabur menilai semula pendedahan dan menyusun semula portfolio mereka.

Dalam konteks ini, beliau berkata IILM terus mengharungi pergolakan pasaran global dengan berjaya melaksanakan penerbitan terkininya walaupun pasaran sukuk dan bon global berada dalam keadaan perlahan.

Lelongan terkini berjumlah US$1.29 bilion, termasuk US$105 juta bagi pengumpulan dana baharu, diterima baik oleh pelabur, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap tawaran oleh IILM.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan bank pusat ahli dan peniaga utama bagi memastikan konsistensi penerbitan, kedalaman pasaran dan keyakinan pelabur — terutamanya pada tempoh apabila kestabilan, kebolehramalan dan jaminan pasaran adalah yang paling diperlukan,” kata Mohamad Safri.

Transaksi hari ini menandakan lelongan sukuk kelima IILM setakat tahun ini, menjadikan jumlah penerbitan pada 2026 sebanyak US$5.775 bilion merentas 22 siri sukuk dengan tempoh matang yang berbeza.

Kesemua terbitan itu dijalankan di bawah program penerbitan sukuk jangka pendek IILM bernilai US$8.5 bilion, yang diberi penarafan “A-1” oleh S&P Global Ratings dan “F1” oleh Fitch Ratings.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan