WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rawatan Moden Pelbagai Disiplin Bentuk Semula Cara Tangani Obesiti

04/03/2026 11:29 AM


From Muhammad Basir Roslan

Sejak berdekad lalu, obesiti membawa beban yang berat, bukan dari segi tubuh semata-mata tetapi tanggapan masyarakat apabila kerap kali isu itu disempitkan kepada soal penampilan, kekuatan iltizam atau disiplin diri.

Namun, naratif itu kian berubah.

Bersempena dengan Hari Obesiti Sedunia tahun ini, pakar perubatan menggesa masyarakat agar melihat semula tanggapan itu, dan menegaskan obesiti bukan isu kegagalan peribadi tetapi satu penyakit kronik yang kompleks dan memerlukan penjagaan berstruktur serta penuh empati dalam jangka panjang. 

Menurut Pakar Perunding Endokrinologi dan Perubatan Dalaman Dr Kiran Nair daripada ParkCity Medical Centre,  antara salah tanggapan terbesar ialah menganggap obesiti berpunca daripada sikap malas atau kurang kawalan diri semata-mata.

“Anggapan ini tidak tepat dari sudut perubatan. Obesiti ialah penyakit kronik yang diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 1997, sama seperti diabetes atau penyakit jantung,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

“Masalah kesihatan ini dipengaruhi oleh faktor genetik, hormon dan isyarat otak yang mengawal rasa lapar, corak tidur, tekanan, ubat-ubatan serta persekitaran,” tambahnya.

Beliau berkata pendekatan rawatan moden kini kian mengakui kerumitan itu dengan tidak lagi bergantung pada nasihat mudah, seperti “kurangkan makan dan lebihkan bergerak”. Sebaliknya, rawatan kini beralih kepada strategi pelbagai disiplin yang menangani faktor biologi, psikologi serta gaya hidup secara serentak dan menyeluruh.

 

OBESITI PERLUKAN LEBIH DARIPADA ILTIZAM

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr Kiran berkata obesiti mampu menjejaskan hampir setiap sistem organ dalam badan, daripada paru-paru dan hati hingga sendi, serta meningkatkan risiko diabetes jenis 2, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, beberapa jenis kanser dan juga masalah ketidaksuburan.

Selama bertahun-tahun, nasihat bagi menurunkan berat badan berkisar pada formula mudah, iaitu “kurangkan makan dan lebihkan bersenam.” Walaupun pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal kekal sebagai asas penting kesihatan yang baik, beliau berkata tidak semua individu berjaya menurunkan berat hanya dengan mengamalkan pendekatan itu semata-mata.

pic-2

“Sebagaimana kita menguruskan penyakit kronik lain, ada individu memerlukan rawatan perubatan yang sistematik, ubat-ubatan bahkan pembedahan. Yang paling penting, individu yang hidup dengan obesiti perlu diberikan rawatan dan simpati, bukannya cemuhan atau dimalukan,” nasihat beliau.

Beliau turut berkongsi ramai pesakit memberitahunya yang mereka mencuba pelbagai jenis diet, program senaman dan pelan penurunan berat badan selama bertahun-tahun, namun masih bergelut untuk mencapai hasil yang berkekalan.

“… dan dalam kebanyakan kes, ini memang benar,” tambahnya, dan menjelaskan keadaan itu berlaku kerana tubuh manusia, secara biologi, diprogramkan untuk mempertahankan berat asalnya. Apabila berlaku penurunan berat badan, laluan tindakan hormon akan meningkatkan rasa lapar dan memperlahankan metabolisme, sekali gus menyukarkan usaha mengekalkan penurunan tersebut.

“Tubuh kita direka untuk melindungi kita daripada kebuluran, bukan membantu kita menurunkan berat badan. Apabila seseorang itu kehilangan berat badan, tubuh mentafsirkan situasi tersebut sebagai ancaman lalu bertindak balas dengan meningkatkan hormon lapar dan mengurangkan penggunaan tenaga,” jelasnya.

Selain mekanisme biologi ini, faktor-faktor seperti ketidakseimbangan hormon, pengambilan ubat tertentu, tekanan, menopaus dan keadaan kesihatan asas turut berpotensi merumitkan pengurusan berat badan. Dalam situasi sebegini, kegagalan berulang bukan tanda seseorang itu lemah, tetapi menunjukkan keperluan kepada sokongan perubatan yang lebih tersusun dan menyeluruh.

 

ERA BAHARU DALAM RAWATAN OBESITI

Menurut Dr Kiran, satu daripada perubahan paling ketara dalam pengurusan obesiti sejak kebelakangan ini ialah pemahaman lebih mendalam dari segi perubatan terhadap obesiti sebagai satu penyakit biologi yang kompleks, dan seterusnya mengubah pendekatan rawatan klinikal. 

“Bagi individu dengan rintangan biologi yang signifikan terhadap penurunan berat badan, penjagaan obesiti moden kini merangkumi program pengurusan berat badan di bawah pemantauan perubatan, terapi preskripsi, dan dalam kes terpilih, prosedur bariatrik atau endoskopik invasif minimum.

pic-3

“Kini, tumpuan bukan lagi semata-mata pada penurunan berat badan, tetapi pada peningkatan kesihatan secara keseluruhan, pengurangan komplikasi berkaitan obesiti serta mengekalkan penurunan berat badan tersebut dalam jangka panjang,” katanya.

Satu daripada pencapaian paling menonjol dalam bidang ini ialah kemunculan ubat generasi baharu dikenali sebagai terapi Glucagon-Like Peptide-1 (GLP-1). Berbeza dengan ubat penurunan berat badan generasi terdahulu yang kebanyakannya bertindak sebagai penyekat selera makan dengan menyasarkan otak, rawatan terbaharu ini berasaskan hormon yang secara semula jadi mengawal rasa lapar, rasa kenyang, paras gula dalam darah serta metabolisme.

“Ubat-ubatan ini berfungsi selari dengan sistem semula jadi tubuh dan bukan memintasnya. Ubat tersebut membantu individu berasa kenyang dengan lebih cepat serta membaiki cara tubuh memproses gula dalam darah, dan bukan sekadar menyekat selera makan,” jelas beliau.

Yang penting, rawatan ini telah melalui ujian klinikal jangka panjang yang menyeluruh dan diluluskan untuk penggunaan kronik di bawah pengawasan doktor. Walaupun kebanyakan individu dapat menerima ubat ini dengan baik, seperti mana ubat-ubat lain terapi ini juga berpotensi menyebabkan kesan sampingan, justeru mesti dipreskripsikan dan dipantau secara ketat oleh pengamal perubatan bertauliah.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa ubat-ubatan seperti Ozempic, Mounjaro atau Wegovy bukanlah penyelesaian segera atau ‘suntikan ajaib’, sebaliknya cuma alat yang digunakan sebagai sebahagian daripada pelan rawatan komprehensif dan jangka panjang, yang menggabungkan perubahan gaya hidup, sokongan tingkah laku serta penjagaan perubatan berterusan,” katanya, menambah berat badan berpotensi meningkat semula sekiranya pengambilan ubat-ubat tersebut dihentikan secara mendadak. 

Berhubung kebimbangan tentang kebergantungan, beliau berkata rasa takut itu umumnya datang daripada salah tanggapan berkaitan pengurusan penyakit kronik.

“Ubat-ubatan ini tidak menyebabkan ketagihan dalam erti kata tradisional. Namun, menghentikan pengambilan boleh menyebabkan berat badan naik semula kerana mekanisme biologi tubuh tidak berubah dan akan terus berusaha mempertahankan berat asalnya,” jelas beliau.

Tegas beliau, matlamatnya ialah menggabungkan ubat-ubatan dengan  gaya hidup lestari, pemeriksaan berkala dan sokongan berterusan.

“Bagi ramai pesakit, pendekatan bersepadu ini membawa kepada penambahbaikan yang bermakna dan berkekalan dari segi berat badan, kesihatan metabolik serta kesejahteraan keseluruhan,” tambah beliau.

 

MEMBENTUK TABIAT YANG BERKEKALAN

Walaupun ubat moden dan prosedur perubatan dapat menyokong penurunan berat badan, pemakanan kekal sebagai tunjang utama dalam pengurusan obesiti secara mampan, dan menurut pakar diet Ng Kar Foo daripada ParkCity Medical Centre, ramai mengalami kesan buruk akibat mengikuti diet popular atau terlalu ketat yang dipromosikan dalam talian atau oleh pempengaruh gaya hidup.

“Antara kesilapan paling lazim ialah sekatan pemakanan yang berlebihan,” katanya. “Ini termasuk melangkau waktu makan, mengetepikan keseluruhan kumpulan makanan, bergantung pada pelan diet yang ekstrem atau mengikuti trend popular seperti diet jus detoks, rutin puasa yang terlalu ketat, atau ‘fad diet’ yang dipromosikan oleh pempengaruh media sosial. Pendekatan ini mungkin menghasilkan penurunan berat badan dalam jangka pendek, tetapi jarang sekali berat itu dapat dikekalkan untuk tempoh yang panjang.”

pic-4

Jelas beliau “fad diet” - trend pemakanan popular yang menjanjikan keputusan pantas tanpa sokongan saintifik yang kukuh - kerap membawa kepada jangkaan tidak realistik. Contoh terkini ialah minuman “Oatzempic” yang tular di TikTok, diperbuat daripada oat, limau nipis dan air, yang mungkin mengurangkan pengambilan kalori buat sementara, namun tiada bukti manfaat kesihatan jangka panjang.

Menurut Ng, kaedah sedemikian selalunya membawa kepada kelesuan, makan mengikut emosi dan makan berlebihan selepas diet ketat. Lama-kelamaan, seseorang itu akan terperangkap dalam kitaran menyedihkan, iaitu diet ketat, kejayaan sementara, kambuh dan berat badan naik semula.

“Apabila perkara ini berlaku berulang kali, individu cenderung menyalahkan diri sendiri. Hakikatnya, masalah bukan pada kekurangan kekuatan azam, sebaliknya pendekatan yang tidak mengambil kira aspek biologi yang kompleks dan psikologi obesiti,” katanya.

Ng menegaskan pengurusan obesiti yang berkesan tidak hanya tentang jumlah kalori, tetapi turut menumpukan pada kualiti makanan, waktu makan, tidur, tekanan serta hubungan emosi seseorang dengan makanan.

Perubahan yang lestari dibina berasaskan tabiat yang realistik, tegasnya.

 

PELAN PEMAKANAN YANG DIREKA KHUSUS

Membina tabiat pemakanan yang mampan memerlukan lebih daripada pelan makanan biasa. Jelas Ng, pakar diet menilai seseorang secara menyeluruh, meliputi rutin harian, amalan budaya, tahap tekanan dan, paling penting, hubungan mereka dengan makanan.

“Bagi sesetengah orang, makanan melambangkan perayaan dan hubungan kekeluargaan; bagi yang lain pula, ia menjadi cara mengurus tekanan atau sekadar sumber tenaga untuk menjalani aktiviti harian. Memahami makna dan peranan makanan ini amat penting dalam membentuk tabiat yang realistik dan berkekalan,” katanya.

pic-5

Fleksibiliti juga tidak kurang pentingnya. Daripada menyediakan satu pelan diet yang ketat, pakar diet membangunkan strategi yang disesuaikan dengan keadaan seseorang, dan ini mungkin melibatkan beberapa pelan penjagaan pemakanan yang dapat diubah suai berdasarkan situasi seperti ketika dalam perjalanan, pertukaran pekerjaan atau berlaku perkara besar dalam hidup.

“Matlamat utama ialah ketekalan, bukan kesempurnaan. Perubahan yang lestari  terhasil daripada tabiat kecil yang boleh dicapai dan diulang secara berterusan. Sebagai contoh, daripada berhenti sepenuhnya memakan snek, seseorang boleh bermula dengan menggantikan makanan manis kepada buah-buahan pada waktu siang. Pembentukan tabiat lazimnya memerlukan usaha berterusan selama kira-kira tiga bulan atau lebih,” jelasnya lagi.

Matlamat akhirnya ialah peningkatan kesihatan dan kesejahteraan, bukan sekadar penurunan berat badan.

Bagi beliau, hal ini menegaskan kepentingan penjagaan multidisiplin, situasi di mana pakar endokrinologi, gastroenterologi, pakar bedah bariatrik dan pakar diet bekerjasama menangani dimensi biologi, tingkah laku dan sosial obesiti.

 

PENYELESAIAN TANPA INSISI  MODEN 

Bagi sesetengah pesakit, perubahan gaya hidup, sokongan pemakanan dan pengambilan ubat mungkin masih belum mencukupi untuk mencapai penambahbaikan kesihatan yang bermakna. Dalam keadaan sedemikian, prosedur endoskopik invasif minimum berpotensi memainkan peranan pelengkap.

Dr James Emmanuel, pakar perunding gastroenterologi dan hepatologi  daripada hospital sama, berkata prosedur tanpa melibatkan insisi itu,  termasuk ‘Endoscopic Sleeve Gastroplasty’ (ESG) dan belon intragastrik (IGB), dilakukan melalui mulut tanpa sebarang insisi pada bahagian abdomen.

pic-6

ESG mengurangkan saiz perut menggunakan sutur dalaman, membantu pesakit berasa kenyang lebih awal dan makan dalam kuantiti lebih kecil, dengan tempoh pemulihan lazimnya cuma beberapa hari. Sementara itu, IGB ialah belon sementara yang diletakkan dalam perut bagi menggalakkan rasa kenyang lebih awal dan menyokong penurunan berat badan jangka pendek, biasanya hingga enam bulan.

“Berbanding pembedahan bariatrik tradisional seperti laparoscopic sleeve gastrectomy atau Roux-en-Y gastric bypass, terapi ini mengekalkan anatomi semula jadi saluran gastrousus (GI), melibatkan tempoh pemulihan lebih singkat dan risiko prosedur yang lebih rendah,” katanya.

Walaupun prosedur pembedahan lazimnya menghasilkan penurunan berat badan lebih besar bagi obesiti teruk, terapi endoskopik berfungsi sebagai pilihan yang selamat dan berkesan untuk pesakit terpilih, kata Dr Emmanuel.

Prosedur-prosedur ini umumnya disyorkan kepada individu dengan Indeks Jisim Badan (BMI) 30 ke atas, atau BMI melebihi 27 yang disertai faktor risiko metabolik, khususnya apabila intervensi gaya hidup sahaja tidak menunjukkan hasil yang memadai.

Bagi pesakit terpilih dengan BMI lebih tinggi yang menolak pembedahan atas sebab peribadi atau perubatan, ESG boleh dipertimbangkan sebagai alternatif.

Namun, tegasnya, pemilihan pesakit yang teliti dan penyertaan dalam program multidisiplin yang tersusun amat penting bagi memastikan penurunan berat badan yang bermakna dan berkekalan.

“Dari segi hasil, jangkaan realistik ialah sekitar 15 hingga 20 peratus penurunan jumlah berat badan dalam tahun pertama, dengan kebanyakan pesakit melihat perubahan ketara dalam tempoh tiga hingga enam bulan pertama,” katanya.

 Selain pengurangan berat badan, prosedur ini juga dapat membaiki penanda kesihatan berkaitan obesiti termasuk kawalan gula dalam darah, hati berlemak dan faktor risiko kardiovaskular, sekali gus mengetengahkan peranan prosedur terbabit dalam penjagaan metabolik yang lebih holistik.

 

RAPATKAN JURANG

Keselamatan pesakit merupakan pertimbangan utama. Menurut Dr Emmanuel, kajian antarabangsa berskala besar menunjukkan kejadian kesan advers serius berlaku hanya dalam lingkungan dua hingga tiga peratus kes. Kebanyakan pesakit dapat kembali menjalani aktiviti normal dalam tempoh dua hingga tiga hari, dan kemasukan ke hospital dalam tempoh singkat lazimnya memadai untuk pemantauan serta pengurusan gejala sementara seperti ketidakselesaan ringan pada abdomen.

Beliau turut menegaskan prosedur endoskopik bukan penyelesaian sekali gus, kerana obesiti ialah keadaan metabolik kronik, dan kejayaan jangka panjang sangat bergantung pada penglibatan berterusan dalam perubahan gaya hidup.

Menurut beliau, ESG berpotensi diterbalikkan dan telah menunjukkan penurunan berat badan yang berkekalan hingga lima tahun dalam kajian jangka panjang apabila disokong dengan susulan berstruktur.

Ringkasnya, hasil yang mampan hanya dapat dicapai apabila pesakit mematuhi panduan pemakanan, mengekalkan corak aktiviti sihat serta menjalani pemantauan klinikal secara berkala sebagai sebahagian daripada program pengurusan berat badan yang komprehensif.

Melangkah ke depan, beliau membayangkan rawatan obesiti akan menjadi lebih khusus, dengan spektrum pilihan yang disesuaikan mengikut tahap keterukan penyakit, profil metabolik dan keutamaan pesakit.

“Dalam landskap yang berkembang pesat ini, prosedur endoskopik invasif minimum dijangka dapat merapatkan jurang antara terapi perubatan dan pembedahan, sekali gus menjadi komponen penting dalam penjagaan obesiti secara menyeluruh pada masa akan datang,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan