WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Cyberview Pertingkat Usaha Tarik Pelabur Asing, Perkukuh Ekosistem Teknologi Cyberjaya

04/03/2026 11:06 AM

CYBERJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Cyberview Sdn Bhd akan terus mempertingkat usaha menarik pelabur asing ke Cyberjaya dengan memperluas ekosistem teknologi sedia ada serta memberi tumpuan kepada pembangunan syarikat pemula, tempatan dan serantau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata sebagai pemaju induk dan penjaga pembangunan Cyberjaya beberapa projek hartanah dijangka dilancarkan tahun ini bagi meneruskan pembangunan fizikal bandar tersebut.

Beliau berkata inisiatif “placemaking” juga akan diperkasakan bagi meningkatkan daya hidup bandar itu, menyokong Cyberjaya sebagai bandar teknologi yang berfungsi sebagai pusat inovasi serta tempat tinggal dan bekerja yang sesuai.

"Selama bertahun-tahun, fokus kami adalah memperkukuh ekosistem dengan menarik syarikat, menyokong inovasi dan memupuk kerjasama.

"Hari ini, peranan kami berkembang dengan menekankan pembangunan hartanah. Kami sedang merancang pembangunan berasaskan kualiti hidup dan komponen pelengkap untuk menyokong bandar yang dinamik untuk didiami, bekerja, berinovasi dan bersantai,” katanya pada majlis berbuka puasa dan penghargaan media anjuran Cyberview, di sini, pada Selasa.

Kamarul Ariffin berkata langkah ini penting kerana sebuah hab teknologi global tidak hanya ditentukan oleh pejabat dan infrastruktur, tetapi juga kekuatan komuniti, bakat serta kualiti kehidupan, faktor yang menarik dan mengekalkan pelabur serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Cyberjaya kekal berpotensi untuk muncul sebagai pintu masuk utama pelaburan teknologi ke Asia Tenggara meskipun ketidaktentuan geopolitik global dijangka terus mempengaruhi sentimen pelaburan dunia tahun ini.

Menurutnya, asas ekosistem yang telah dibangunkan secara konsisten setakat ini diyakini mampu menjadi daya tarikan syarikat teknologi antarabangsa yang mencari lokasi pelaburan yang stabil dan strategik.

Beliau berkata pergolakan yang berlaku di beberapa rantau lain secara tidak langsung menjadikan Asia Tenggara sebagai destinasi yang lebih stabil untuk pelaburan, dengan Malaysia berada pada kedudukan kompetitif bagi menarik syarikat global.

“Asia Tenggara pada saya adalah rantau terbaik untuk para pelabur. Kita berharap minat ini akan berterusan berikutan pergolakan yang berlaku di rantau lain,” katanya.

Pada majlis tersebut, Cyberview turut meraikan petugas media yang menyokong agenda pembangunan Cyberjaya dan menyerahkan zakat wakalah berjumlah RM9,000 bagi membantu petugas media yang berhadapan masalah kesihatan.

Cyberview diberi mandat kerajaan untuk memacu Cyberjaya sebagai hab teknologi global Malaysia yang menawarkan ekosistem holistik kepada komuniti teknologinya.

Pada November lepas, Cyberjaya menjadi bandar pertama Malaysia menerima penarafan Perbandaran Pintar Emas 2025 di bawah Program Penarafan Bandar Pintar Malaysia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan