WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tengku Permaisuri Norashikin Rasmi Majlis Khatam al-Quran Wanita Selangor 2026

07/03/2026 02:14 PM

SEPANG, 7 Mac (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian Majlis Khatam al-Quran Wanita Selangor 2026 di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Majlis itu dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga serta Wanita Berdaya Selangor (WBS) dengan kerjasama Pejabat Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu, Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Selangor Datin Syarmila Yahya serta Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad.

Majlis bagi mengimarahkan Ramadan itu sebahagian daripada pengisian Program Ihya Ramadan Kasih 1,000 Wanita MADANI yang disertai peserta dari Parlimen Sepang dan seluruh Selangor. 

Penganjuran majlis bertujuan menyempurnakan bacaan 30 juzuk al-Quran secara berjemaah sekali gus menjadi simbol kesatuan, penghayatan nilai Islam dan pengukuhan ukhuwah dalam kalangan wanita.

Majlis itu juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri memperkasakan wanita secara holistik melalui pendekatan yang merangkumi aspek kerohanian, kepimpinan dan kesejahteraan sosial. 

Selain itu, majlis itu menjadi platform penyatuan wanita merentas latar belakang kerjaya dan komuniti sekali gus memperkukuh jaringan sokongan serta semangat kebersamaan dalam Ramadan yang penuh keberkatan.

Sementara itu, Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata program itu menjadi simbol penyatuan wanita dalam memperkukuh nilai kerohanian, kepimpinan dan kebersamaan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau berharap program bertemakan “Ramadan Memurni Ummah MADANI” dapat memupuk semangat kebersamaan masyarakat serta mengimarahkan Ramadan melalui aktiviti bermanfaat kepada komuniti setempat.

“Ini sebahagian daripada usaha berterusan mengimarahkan Ramadan yang mendidik umat Islam menjadi insan bertakwa melalui latihan disiplin diri, keikhlasan dan kesedaran spiritual mendalam,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan