WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiada Kompromi Keganasan Dan Provokasi Agama, PDRM Digesa Ambil Tindakan Tegas - Aaron

10/03/2026 12:10 PM

PUTRAJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Sebarang bentuk keganasan, provokasi agama, kebencian atau tindakan melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memandang serius tiga insiden yang berlaku baru-baru ini yang berpotensi menggugat keharmonian masyarakat dalam negara dan mahu tindakan terhadap golongan pelampau yang cuba menggugat keamanan negara mesti dilaksanakan tanpa kompromi.

“Sehubungan itu, saya memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron merujuk kepada insiden kenderaan milik aktivis masyarakat dikenali sebagai Cikgu Chandra, yang dibakar oleh pihak tidak bertanggungjawab dan video tular memaparkan seorang lelaki memijak dan merosakkan simbol suci agama Hindu, Trisul, yang jelas mencetuskan kegusaran dalam kalangan penganut agama tersebut.

Selain itu, ia termasuk serangan terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth yang turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan individu dan ketenteraman awam.

Aaron berkata Malaysia dibina berdasarkan asas perpaduan, saling menghormati dan kefahaman antara agama serta budaya, dan nilai itu mesti terus dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat.

“Saya menyeru seluruh rakyat agar tidak bertindak secara beremosi, tidak menyebarkan spekulasi, serta sentiasa berhemah dalam memberikan reaksi terhadap isu sensitif, khususnya di media sosial. Sebarang perbezaan pandangan harus ditangani melalui saluran yang betul dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan