WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MBSB IB Kekal Neutral Meski Bekalan Sektor Minyak Dan Gas Tidak Menentu

12/03/2026 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd mengekalkan pandangan neutral terhadap sektor minyak dan gas (O&G) berikutan ketidaktentuan bekalan dalam pasaran tenaga global, dengan menjangkakan dinamik bekalan berkemungkinan berubah susulan perkembangan terkini, berasaskan andaian harga minyak mentah semasa sekitar US$90 hingga US$100 setong.

Bank pelaburan itu memaklumkan walaupun konflik yang lebih meluas dilihat masih terkawal buat masa ini, kerosakan terhadap kemudahan utama serta rangkaian logistik berpotensi mengetatkan keadaan bekalan dalam tempoh terdekat.

“Walaupun konflik secara keseluruhan kelihatan masih terkawal buat masa ini, kerosakan terhadap kemudahan utama dan rangkaian logistik berpotensi mengetatkan keadaan bekalan dalam tempoh terdekat,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Sehubungan itu, memandangkan keterlihatan yang terhad terhadap perkembangan situasi berkenaan, MBSB Investment Bank memaklumkan unjurannya dirangka berasaskan pendekatan senario, dengan senario asas mengandaikan serangan ketenteraan bersasar berlarutan selama beberapa minggu selain gangguan berselang-seli terhadap aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz.

Berdasarkan andaian tersebut, harga minyak mentah dijangka bergerak dalam julat US$90 hingga US$100 setong.

Dalam persekitaran sedemikian, bank pelaburan itu memaklumkan bahawa harga minyak mentah yang kekal dalam julat tersebut berkemungkinan mendorong pengeluar utama minyak mempercepatkan aktiviti pelaburan dan pembangunan bagi menampung kekurangan bekalan susulan gangguan yang berlaku.

Secara sejarah, tempoh harga minyak yang tinggi lazimnya mendorong pengeluar meningkatkan perbelanjaan bagi aktiviti penerokaan, pengeluaran serta pembangunan medan minyak.

Keadaan ini biasanya membawa kepada peningkatan aktiviti yang lebih kukuh dalam segmen huluan rantaian nilai minyak dan gas, selain merangsang permintaan terhadap perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan serta sokongan luar pesisir.

“Dalam konteks ini, kami berpandangan pemain sokongan segmen huluan berpotensi meraih manfaat daripada peningkatan aktiviti industri sekiranya harga minyak kekal tinggi.

“Pendedahan pilihan kami dalam sektor ini merangkumi Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) dengan harga sasaran disemak kepada 5.5 sen, Deleum Bhd dengan harga sasaran RM1.92, serta Bumi Armada Bhd dengan harga sasaran RM0.54, yang kami percaya berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan dalam kejuruteraan luar pesisir, perkhidmatan penyelenggaraan dan operasi pengeluaran terapung apabila aktiviti pelaburan huluan semakin rancak,” menurutnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan